Malaysian Time

Blog Design by Bling on the Blog

Monday, November 2, 2009

PM: Kaedah baru ganjaran bagi kakitangan awam

PM: Kaedah baru ganjaran bagi kakitangan awam
Nov 2, 09 11:34am

Kerajaan akan memperkenalkan sistem ganjaran yang lebih berkesan yang dapat memotivasikan penjawat awam bagi memperkasa budaya prestasi tinggi di dalam sektor awam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata ini kerana cabaran yang dihadapi oleh negara adalah besar dan walaupun berjaya, negara berada dalam situasi yang disifatkan sebagai terperangkap dalam tahap pendapatan sederhana.

"Maknanya jika kita tidak buat sesuatu kita akan terperangkap di dalam tahap pendapatan sederhana ini.

"Maknanya kita tak miskin tetapi kita tak kaya dan inilah cabaran yang paling besar bagi negara bagaimana kita nak wujudkan satu motivasi supaya kita tidak terlekat pada tahap sekarang tetapi benar-benar menjadi negara yang berjaya mengikut takrif kita," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini.

Sehubungan itu, katanya, beliau bersama timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan sedang memikirkan dari segi kaedahnya untuk memperkenalkan sistem ganjaran tersebut yang benar-benar berkesan yang dapat memotivasikan penjawat awam.

"Mungkin hari kualiti kita tukar kepada hari inovasi. Kita nak cuba gubal satu sistem ganjaran yang lebih bermakna lagi, bukan seperti sistem sebelum ini, menegak melintang, ia tidak berkesan kerana kita dah berpakat.

"Tahun ini giliran saya, tahun depan, hangpa punya peluang. Jadi, kalau macam tu, ia tidak jadi. Dan jangan kata ia tidak berlaku. Ia berlaku. Sebab saya tahu, ia berlaku," katanya.

Najib berkata penggubalan sistem ganjaran itu juga bagi menunjukkan bahawa kerajaan tidak bertolak ansur kepada penyalahgunaan kuasa, mediokriti, tetapi memberi ganjaran kepada prestasi tinggi.

"Kita kena bergi ganjaran jabatan yang kutip cukai meningkat, kita mungkin beri ganjaran jabatan yang berjaya dalam pendakwaan, kita boleh beri ganjaran mungkin jabatan yang buat kajian dan penyelidikan (R&D) yang menghasilkan sesuatu yang luar biasa," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu perkara seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara tidak akan berulang lagi kerana ia boleh memberi kesan kepada kerajaan.

"Ini kerana setiap kali ada laporan, rakyat dah jadi sinikal, rakyat kata laporan ini, tidak ada tindakan.

"Semuanya cerita lama, maknanya prestasi kita tidak akan bertambah baik dan rakyat akan mencemuh kita, dan tentu akan memberi kesan kepada kerajaan," katanya.

Najib juga berkata ketua-ketua jabatan tidak boleh bertolak ansur kepada prestasi yang bersifat tidak berapa baik jika pekerja bawahan melakukan kerja yang tidak mencapai tahap mutu dan kualiti yang dikehendaki.

"Bukan kita marah dia, atau mencampak fail tetapi jemput dia ke bilik kita dan terangkan kepada dia kerja saudara/saudari tidak sampai kepada tahap kualiti yang saya kehendaki sebagai ketua jabatan. Hanya perkataan seperti itu, ia sudah memadai.

"Tak payah tumbuk meja, tak payah nak bertempik. Sebagai ketua jabatan anda hanya sebut beberapa perkataan, saya jamin, pegawai anda, pada satu masa nanti, akan menghasilkan kerja yang bermutu," katanya. BERNAMA

No comments:

Post a Comment