Malaysian Time

Blog Design by Bling on the Blog

Thursday, November 5, 2009

Penginsurans Takaful Digesa Kekalkan Kadar Premium Rendah Tarik Permint

Penginsurans Takaful Digesa Kekalkan Kadar Premium Rendah Tarik Permintaan

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Bagi mewujudkan permintaan yang lebih baik, penginsurans takaful tempatan perlu belajar dari negara-negara seperti Bangladesh, India dan Indonesia, untuk memulakan skim pelopor di kawasan setempat mereka sendiri, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussain, pada Khamis.

Beliau berkata di sesetengah negara, akses perlindungan insurans dikenakan hingga serendah AS$2 sebulan, di mana ia tidak berlaku di sini.

Menurut Awang Adek, dengan mengekalkan kadar premium serendah yang mungkin, ia bukan sahaja dapat mewujudkan permintaan yang lebih baik bagi produk takaful, tetapi juga membolehkan banyak perniagaan dan keluarga mempunyai akses perlindungan insurans.

"Ramai yang boleh mendapat faedah daripada produk ini. Dalam konteks kewangan Islam, integrasi skim mikro takaful dengan Zakat, Waqf dan institusi amal lain yang sama, adalah untuk tujuan membasmi kemiskinan," katanya dalam ucapan beliau di Persidangan Takaful Rendezvous 2009, di sini.

Beliau berkata untuk bersaing dengan insurans konvensional, masih banyak yang perlu dilakukan oleh industri takaful.

Mengenai perkembangan industri itu, beliau berkata minat terhadap sektor takaful masih utuh meskipun persekitaran yang mencabar, didorong oleh permintaan kukuh bagi perkhidmatan dan minat mendalam yang ditunjukkan oleh penginsurans dalam mencari kaedah baharu untuk menjana pendapatan serta pemelbagaian pasaran.

Awang Adek berkata nilai-nilai yang terdapat dalam skim takaful, yang memenuhi permintaan bagi pelaburan kewangan dan tanggungjawab sosial, meningkatkan lagi nilai dan prospek pasaran bagi sektor ini.

Beliau juga menekankan bahawa industri global takaful yang mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan 25 peratus setahun sejak beberapa tahun lepas, dijangka terus kukuh untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Sejajar dengan pertumbuhan global, beliau berkata industri tempatan dijangka mengekalkan haluannya, dikukuhkan lagi dengan langkah-langkah liberalisasi yang diumumkan awal tahun ini, termasuk pengeluaran sehingga dua lesen takaful keluarga baharu.

Lesen-lesen baharu ini, kata Awang Adek, dijangka dapat merangsangkan lagi inovasi dan persaingan dan berfungsi sebagai pendorong pertumbuhan dan pengembangan dalam industri.

"Kita perlu meneroka bahagian-bahagian baharu, termasuk sektor bukan tradisional. Kita memerlukan wawasan, keazaman dan keyakinan untuk meningkatkan industri," katanya.

Awang Adek juga menyarankan peserta tempatan supaya menimbang perlindungan kesihatan dan perubatan serta perkhidmatan mikro kewangan, terutama mikro takaful yang dijangka menawarkan peluang pertumbuhan yang amat besar.

"Bagi kes perlindungan perubatan dan kesihatan, perubahan demografi dan peningkatan kos perubatan dan penjagaan kesihatan telah membawa kepada permintaan bagi keselamatan kewangan terhadap risiko yang tidak menyenangkan," katanya.

Beliau menjelaskan jangkaan hayat menjelang tahun 2020 dijangka meningkat kepada usia 79 bagi wanita dan 75 bagi lelaki dan bilangan orang yang aktif berbanding pesara dijangka turun sebanyak 40 peratus.

"Ini mencerminkan peluang yang besar kerana ketika ini hanya kira-kira 15 peratus penduduk Malaysia mempunyai perlindungan kesihatan perubatan," katanya.

Sementara itu, persidangan dua hari itu yang bermula hari ini, dianjurkan oleh Persatuan Takaful Malaysia dan disertai peserta tempatan dan dari rantau ini dengan 20 penceramah membentangkan kertas kerja.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment