Malaysian Time

Blog Design by Bling on the Blog

Thursday, November 5, 2009

Malaysia Kurang Terjejas Akibat Kemelesetan Ekonomi

05 November, 2009 19:30 PM

Malaysia Kurang Terjejas Akibat Kemelesetan Ekonomi, Hasil Kajian

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Malaysia kurang tejejas akibat kemelesetan ekonomi dunia, demikian menurut hasil kajian oleh Institute of Chartered Accountants England dan Wales (ICAEW).

Kajian Tahunan Perusahaan Dunia 2009 juga menunjukkan perniagaan di Asia "menerima kesan yang lebih negatif" akibat kelembapan ekonomi berbanding perniagaan di rantau lain.

Ia menunjukkan perniagaan di tiga pasaran Asia mengalami kemelesetan dalam pelbagai tahap, dengan satu dalam tiga (33 peratus) perniagaan di Singapura melaporkan kesan sangat negatif ke atas perniagaan mereka berbanding 21 peratus di Hong Kong dan hanya sembilan peratus di Malaysia.

Pengarah Serantau Institut bagi Asia Tenggara, Mark Billington berkata: "Meskipun impak kemelesetan ekonomi dirasai di seluruh dunia, negara-negara Asia, termasuk Malaysia, didapati kurang terdedah berbanding perniagaan di rantau lain."

"Bagaimanapun kebanyakan perniagaan di Asia telah menyederhanakan unjuran pertumbuhan masing-masing untuk tempoh dua tahun yang akan datang, dengan satu daripada lima menjangkakan tiada pertumbuhan.

"Bajet Malaysia baru-baru ini, serta tanda-tanda pemulihan ekonomi yang lemah di beberapa negara di seluruh dunia, diharapkan dapat membolehkan kami menjangka maklum balas yang lebih positif dan menyakinkan daripada rakyat Malaysia dalam Kajian Perusahaan Global yang akan datang," kata Billington.

Cabaran khusus yang dialami oleh perniagaan di Asia akibat krisis itu termasuk kesukaran merancang untuk masa depan dan pertumbuhan perolehan yang berkurangan, kata kajian itu.

Kajian ICAEW itu memperjelas bahawa kelembapan itu akan memberi impak yang lebih besar terhadap pengaruh ekonomi yang lain seperti perubahan dalam permintaan pengguna, kadar tukran asing dan perubahan dalam harga komoditi dunia.

Perniagaan Asia juga paling positif dalam mengharungi impak globalisasi berbanding perniagaan di rantau lain.

Tujuh puluh peratus perniagaan di Malaysia, 81 peratus perniagaan di Hong Kong dan 86 peratus perniagaan di Singapura percaya globalisasi selanjutnya akan mendatangkan manfaat.

Bagaimanapun, perniagaan di Asia secara amnya memperlihatkan lebih banyak halangan untuk peluasan antarabangsa berbanding perniagaan lain yang dikaji selidik.

"Bahagian yang lebih besar daripada perniagaan Malaysia, berbanding rakan mereka di rantau lain, melaporkan persekitaran politik, kewujudan sumber dalaman, isu bahasa dan perbezaan budaya, merupakan halangan untuk peluasan di peringkat antarabangsa," kata kajian itu.

Sokongan dan penjagaan pesekitaraan perniagaan sangat penting untuk kesejahteraan dan pertumbuhan perusahaan.

Kajian itu menyebut, perniagaan di Singapura dan Hong Kong menganggap pengawal aturan tempatan dan persekitaran percukaian sangat mesra perniagaan.

Keseluruhannya perniagaan di Asia lebih yakin mengenai penamatan awal kesan kemelesetan ekonomi global berbanding rantau lain, kata kajian itu.

Di peringkat global, kebanyakan yang terjejas akibat kelembapan ekonomi, menjangkakan impak akan berterusan untuk setahun hingga dua tahun -- 2010 atau 2011, katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment