13 November, 2009 10:48 AM
Air Zam-zam Kehadiran Yang Tidak Boleh Dilepaskan
MEKAH, 13 Nov ((Bernama) -- Jemaah haji yang mengunjungi Masjidil Haram untuk mengerjakan umrah, solat berjemaah atau ibadah lain tidak perlu bimbang sekiranya merasa haus.
Ini kerana di setiap sudut Masjidil Haram air zam-zam mudah diperoleh, lengkap dengan gelas pakai buang...hanya picit punat bekas takungan air atau pili lalu airpun terpancut keluar dan segala-galanya percuma. Di tempat tawaf, tempat sa'i, di halaman masjid air yang berkhasiat ini sentiasa tersedia.
Ketika pulang dari Masjidil Haram, banyak jemaah terlebih dahulu mengisi botol airnya dengan air zam-zam lalu dijinjing untuk di bawa ke tempat penginapan masing-masing.
Memang menjimatkan kerana mereka tidak perlu membazir membeli air mineral yang harganya di tanah suci ialah 2SR bagi botol kecil dan 4SR bagi botol besar.
Jemaah dari segenap penjuru dunia yang dianggar dua juta orang juga akan diberi lima liter air zam-zam ketika pulang ke tanah air masing-masing.
Pengarah pengagihan air zam-zam di Masjidil Haram Aifan Al Juaid baru-baru ini berkata penggunaan harian air zam-zam secara purata ialah 100 meter padu pada hari biasa dan jumlah itu berganda kepada 200 meter padu pada Jumaat, manakala pada bulan Ramadan dan musim Haji, ia meningkat kepada lebih 1,000 meter padu.
Al Juaid berkata jemaah boleh meminum air zam-zam di 90 tempat air itu ditempatkan dengan 1,100 paip di dalam masjid dan di 43 kawasan dengan 100 paip di perkarangan masjid.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment