KOTA BAHARU, 8 Nov (Bernama) -- Kegagalan pendeposit menamakan pewaris mereka menyebabkan sebanyak RM3 bilion wang tunai gagal diserahkan kepada waris pendeposit itu sehingga kini.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata wang tersebut sewajarnya dituntut daripada Jabatan Akauntan Negara kerana ditinggalkan oleh pemilik asalnya yang sudah meninggal dunia tanpa menamakan pewaris.
"Dimaklumkan wang yang tidak dituntut masih banyak di seluruh negara dan mencecah kira-kira RM3 bilion tersimpan dalam Jabatan Akauntan Negara kerana sesetengahnya tidak tahu pemiliknya sudah mati dan waris atau anak-anak tidak tahu.
"Wang tersebut antaranya ditinggalkan melalui akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta akaun pendeposit dalam bank tanpa diketahui oleh anggota keluarga terdekat termasuk anak-anak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Taklimat Jabatan dan Agensi Kementerian Kewangan yang beroperasi di peringkat negeri di sini Ahad.
Hadir sama Pengerusi Amanah Raya Berhad Datuk Dusuki Ahmad.
Awang Adek berkata terdapat juga kes pewaris seterusnya tidak dimaklumkan mengenai hak yang mereka boleh tuntut kerana gagal dikesan atau terputus hubungan dengan pemilik.
"Sebahagian lagi tidak menyangka ibu bapa meninggalkan wang mungkin melalui KWSP atau simpanan di bank dan selepas mendapat tahu gagal pula mendapatkan maklumat bagaimana mahu menuntutnya menyebabkan selama bertahun-tahun wang tersebut tersimpan begitu sahaja," katanya.
Beliau berkata adalah amat penting bagi pendeposit menamakan pewaris supaya harta dan wang simpanan dapat diagih-agihkan kepada mereka yang berhak seperti menggunakan khidmat Amanah Raya Berhad yang menawarkan proses penamaan amanah, wasiat dan pusaka.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment