Orang Ramai Disaran Bawa Alat Pemadam Api Dalam Kenderaan
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Robert Lau Hoi Chew menggesa orang ramai supaya membawa alat pemadam api dalam kenderaan masing-masing sebagai langkah keselamatan bagi menghadapi kebakaran.
Katanya kes kebakaran kenderaan dan kematian akibatnya meningkat kebelakangan ini, dengan 800 kes kebakaran kenderaan dilaporkan tahun lepas, bersamaan dua kes sehari.
"Pemilik kereta yang membawa alat pemadam api kenderaan sebagai langkah pertama mengelak kebakaran, boleh menyelamatkan nyawa dan mencegah kecederaan akibat kebakaran kenderaan," katanya pada Kempen Satu Kereta Satu Alat Pemadam Api di sini.
Ucapan beliau dibaca Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Datuk Suret Singh.
Katanya kempen anjuran Persatuan Automobil Malaysia (AAM) dan Majlis Pencegahan Kebakaran Malaysia (FICOP), dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Majlis Keselamatan Jalan Raya itu, bertujuan memberi kesedaran kepada pemilik kenderaan tentang langkah yang perlu diambil bagi menghadapi kebakaran.
Lau juga berkata tahap kesedaran pengguna kenderaan tentang pentingnya pemakaian tali pinggang keledar masih rendah, terutama oleh penumpang di tempat duduk belakang, dan kaji selidik menunjukkan hanya 15 peratus penumpang di tempat duduk belakang mematuhi peraturan pemakaian tali pinggang keledar.
"Ini suatu yang serius kerana kajian menunjukkan 350 nyawa boleh diselamatkan setiap tahun sekiranya penumpang di tempat duduk belakang memakai tali pinggang keledar," katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment