Malaysian Time

Blog Design by Bling on the Blog

Wednesday, October 14, 2009

Cerita Pak Haji 1

Pagi ini saya berkesempatan untuk melihat sebuah lot kedai untuk dijadikan pejabat cawangan baru syarikat saya di pekan Gelugor, Pulau Pinang. Semasa saya kena teh tarik dengan 2 keping capati di gerai makanan Taman Sardon, Gelugor, saya telah disapa oleh seorang warga emas yang kebetulan ingin berkongsi sama satu meja. Hujan turun agak lebat pagi ini disertai angin yang agak kencang juga, jadi kami ada masa untuk bersembang agak lama juga di situ.Beliau adalah seorang pesara pencen Jabatan Perikanan dan telah menunaikan haji.Jadi saya gelarkan dia Pak Haji.Dalam banyak-banyak topik yang disemmbangkan itu, ada satu yang menarik perhatian saya. Mari kita berkongsi cerita ini.

Semasa beliau menjawat jawatan kerajaan itu, beliau telah ditugaskan merata tempat di seluruh Malaysia. Ayah beliau adalah seorang petani yang mempunyai banyak relong sawah padi di Pendang, Kedah.Beliau mempunyai seorang sahaja adik perempuan yang juga pegawai kerajaan.Oleh kerana minatnya untuk makan gaji maka pelawaan ayahnya untuk berbakti pada tanah diabaikan begitu sahaja.Beliau lebih suka dengan caranya begitu daripada bergelumang dengan lumpur untuk membesarkan anak-anak mereka. Walaupun begitu, sekiranya beliau kesempitan wang, ayahnya di kampung juga yang di cari.Ayah beliau mengusahakan tanah itu bersendirian dengan dibantu oleh pekerja asing.

Tidak lama selepas beliau dipindahkan ke Johor, ayahnya meninggal dunia dan dikuti ibunya selang beberapa tahun kemudian Tiada siapa yang ingin mengusahakan tanah itu kini samada dirinya atau adik perempuannya. Walaupun begitu, sebelum ayahnya meninggal dunia, tanah itu telah ditukarkan hak milik sama rata antara mereka berdua.

Tanah itu menjadi rang kerana tidak diusahakan. Akhirnya telah dirisik oleh seorang broker hartanah supaya tanah itu dijual. Oleh kerana dirinya tidak yakin akan kembali ke kampung itu lagi apabila beliau pencen nanti,lalu beliau termakan pujuk dan tanah itu dijual dengan harga RM 100,000 sahaja. Duit itu digunakan untuk menukar kereta baru dan selebihnya disimpan di tabung haji.

Kini beliau telah dua tahun pencen dari perkhidmatan kerajaan. Pencen bulanan yang diterima sekadar dua ribu lebih sahaja. Beliau masih ada hutang perumahan dengan kerajaan yang masih berbaki sehingga usia beliau 65 tahun. Ini kerana beliau mengambil pinjaman perumahamn agak lewat. Beliau masih menyara 2 anak yang masih menuntut di IPTA dan seorang lagi di sekolah menengah dari enam anak yang beliau ada. Jadi setelah ditolak pinjaman perumahan, beliau masih ada baki yang agak kecil untuk menyara keluarga beliau kini.Oleh itu beliau telah berkerja semula sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasaraya di bandar ini.

Apa yang Pak haji ini kesalkan:

1. Beliau telah menjualkan tanah pemberian ayahnya dan wang itu pula digunakan untuk membeli kereta dan mengubahsuai rumah.
2. Beliau kini tinggal di pekan yang memerlukan kos hidup yang tinggi jika dibandingkan di kampung halaman beliau dulu.
3. Sekiranya beliau tidak menjualkan tanah itu dulu,maka tanah itu boleh diusahakan kini ataupun dipajakan atau disewakan kepada pengusaha lain dan beliau boleh mengambil upahnya setiap musim padi seperti apa yang dilakukan oleh adik perempuannya kini.Apa yang penting tanah itu masih menjadi hak beliau.
4. Dalam usia yang agak lewat kini setelah berkerja lebih dari 25 tahun, sepatutnya beliau bolehlah berehat atau mendekati masjid tetapi kini sebaliknya.
5. Apa yang lebih dikesali kini ialah tiga orang anak beliau yang telah berkerja di sekitar bandar ini dan telah berumahtangga, amat jarang balik ke rumah beliau. Beliau sendiri takut untuk menghubungi mereka takut nanti dibentak atau alasan mereka sibuk dengan tugasan. Beliau teringin untuk makan tengah hari bersama tetapi ini tidak menjadi kenyataan. Pak haji ini dengan nada sayu dan kesal menyatakan, apa yang dilakukan oleh anak-anaknya ini pernah dilakukannya pada ibubapanya dahulu.

Moral cerita ini.

1. Pak Haji ini tidak perlu bersusah payah untuk mendapatkan harta jadi apa yang diberikan oleh ayah beliau tidak dihargainya dan tanpa berfikir panjang, tanah itu dijualkannya
2. Duit dari hasil jualan tanah itu tidak dilaburkan dengan sempurna tetapi dilaburlan pada harta yang tidak menberikan pulangan atau manfaat dan tidak membantu beliau di masa tua.
3. Perbuatan kita pada orang tua kita akan dapat kita rasai pula pada anak-anak kita kini. Kalau perbuatan kita baik maka baiklah kita akan dapat pulangannya dan sebaliknya.

Waullah a'lam

No comments:

Post a Comment