Malaysian Time

Blog Design by Bling on the Blog

Friday, September 4, 2009

Piagam Madinah

Baru-baru ini ada suara-suara atau pendapat yang mengatakan konsep 'Satu Malaysia' yang dipelopori oleh PM kita menyerupai atau hampir menyamai 'Piagam Madinah' yang digubal oleh Nabi saw. Di bawah ini diturunkan 'Piagam 'tersebut untuk dibuat perbandingan dengan kosep 'Satu Malaysia'. Sila turunkan komen anda.

Piagam Madinah

(Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas)

Piagam Madinah telah digubal oleh Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 622M bersamaan tahun pertama Hijrah, merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia.

Kandungan piagam ini terdiri daripada 47 fasal.

• 23 fasal piagam tersebut membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara Ansar dan Muhajirin.

• 24 fasal yang berbaki membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam iaitu Yahudi.

Selain Piagam Madinah, ia juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Perjanjian Madinah, Dustar al-Madinah dan juga Sahifah al-Madinah. Selain itu Piagam Madinah juga boleh dikaitkan dengan Perlembagaan Madinah kerana kandungannya membentuk peraturan-peraturan yang berasaskan Syariat Islam bagi membentuk sebuah negara (Daulah Islamiyah) yang menempatkan penduduk yang berbilang bangsa atau kaum.
Perangkaan Piagam Madinah

Rasulullah s.a.w. dalam merangka piagam Madinah, beliau telah mengikut bimbingan wahyu dan berdasarkan norma-norma masyarakat Madinah ketika itu. Terdapat tiga langkah yang diambil oleh Rasulullah dalam membentuk piagam Madinah.

Langkah pertama

Dilakukan oleh Rasulullah dengan mendirikan sebuah masjid sebagai tempat orang Islam beribadat dan tempat Rasulullah menyampaikan ajaran Islam serta tempat pentadbiran Rasulullah.

Langkah kedua

Mengikat tali persaudaraan antara kaun Ansar dan Muhajirin, bagi mewujudkan persefahaman dan untuk membantu kaum Muhajirin memulakan hidup baru dengan pertolongan kaum Ansar.

Langkah ketiga

Mengadakan perjanjian dengan orang Yahudi supaya sama-sama mempertahankan Madinah dari ancaman luar.

Berdasarkan langkah-langkah tersebut maka lahirlah satu perjanjian yang dikenali sebagai piagam Madinah. Perkara utama yang terkandung dalam Piagam Madinah adalah:

• Nabi Muhammad s.a.w. adalah ketua negara untuk semua penduduk Madinah dan segala pertelingkaran hendaklah merujuk kepada baginda.
• Semua penduduk Madinah ditegah bermusuhan atau menanam hasad dengki sesama sendiri, sebaliknya mereka hendaklah bersatu dalam satu bangsa iaitu bangsa Madinah.
• Semua penduduk Madinah bebas mengamal adat istiadat upacara keagamaan masing-masing.
• Semua penduduk Madinah hendaklah bekerjasama dalam masalah ekonomi dan mempertahankan Kota Madinah dari serangan oleh musuh-musuh dari luar Madinah.
• Keselamat orang Yahudi adalah terjamin selagi mereka taat kepada perjanjian yang tercatat dalam piagam tersebut,

Tujuan Piagam Madinah

• Menghadapi masyarakat majmuk Madinah
• Membentuk peraturan yang dipatuhi bersama semua penduduk.
• Ingin menyatukan masyarakat pelbagai kaum
• Mewujudkan perdamaian dan melenyapkan permusuhan
• Mewujudkan keamanan di Madinah
• Menentukan hak-hak dan kewajipan Nabi Muhammad dan penduduk setempat.
• Memberikan garis panduan pemulihan kehidupan kaum Muhajirin
• Membentuk Kesatuan Politik dalam mempertahankan Madinah
• Merangka persefahaman dengan penduduk bukan Islam, terutama Yahudi.
• Memberi peruntukan pampasan kepada kaum Muhajirin yang kehilangan harta benda dan keluarga di Mekah.

Prinsip Piagam Madinah

• Al-Quran dan Sunnah adalah sumber hukum negara.
• Kesatuan Ummah dan Kedaulatan Negara
• Kebebasan bergerak dan tinggal di Madinah
• Hak dan tanggungjawab dari segi ketahanan dan mempertahankan negara
• Dasar hubungan baik dan saling bantu-membantu antara semua warganegara
• Tanggungjawab individu dan negara pemerintah dalam menegakkan keadilan sosial.
• Beberapa undang-undang keselamatan seperti hukuman Qisas dan sebagainya telah dicatatkan
• Kebebasan beragama
• Tanggungjawab negara terhadap orang bukan Islam
• Kewajipan semua pihak terhadap perdamaian.


PIAGAM MADINAH

( Disalin semula dari Kitab Fiqh Al-Sirah, jilid 2, Oleh Muhammad Sa’id Ramadhan Al- Buti, terjemahan oleh Ust Mohd Darus Sanawi, terbitan Pustaka Fajar, Ogos, 2000 )

FASAL 1

Dengan nama Allah Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Inilah Kitab ( Piagam Bertulis ) dari Nabi Muhammad, Pesuruh Allah demi bagi orang-orang yang beriman dan orang-orang yang memeluk Islam dari Quraisy dengan penduduk-penduduk Yathrib dan orang-orang yang bersama mereka lalu masuk ke dalam golongan mereka dan berjuang bersama-sama mereka.

FASAL 2

Bahawa mereka adalah satu umat ( bangsa – nation ) berbeza dari mana-mana manusia yang lain.

FASAL 3

Golongan Muhajirin dari Quraisy tetaplah di atas pegangan lama mereka: mereka saling tanggung-menanggung membayar dan menerima wang tebusan (diyat) di antara sesama mereka dalam mana mereka menebus sesiapa yang tertawan dengan cara yang berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.

FASAL 4

Bani Auf ( dari Yathrib ) tetaplah di atas pegangan lama mereka dalam mana mereka bersama-sama tanggung-menanggung membayar serta menerima wang tebusan seperti dulu; dan setiap taifah (golongan ) tetaplah menebus sesiapa saja yang tertawan dari kalangan mereka sendiri dengan cara berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.

FASAL 5

Banu al-Harith ( dari Yathrib – Madinah ) bin al-Khazraj tetaplah di atas pegangan lama mereka sama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dulu dan tiap-tiap puak dari ( suku khazraj ) hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan adil dan berkebajikan di kalangan orang-orang yang beriman.

FASAL 6

Banu Sa’idah ( dari Yathrib ) tetaplah di atas pegangan lama mereka sama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dulu dan setiap keluarga puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman

FASAL 7

Banu Jusyam ( dari Yathrib ) tetaplah di atas pegangan lama mereka sama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dulu dan tiap-tiap puak dari ( suku khazraj ) hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan adil dan berkebajikan di kalangan orang-orang yang beriman.

FASAL 8

Banu Al-Najjar ( dari Yathrib ) tetaplah di atas pegangan lama mereka sama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dulu dan tiap-tiap puak dari ( suku khazraj ) hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan adil dan berkebajikan di kalangan orang-orang yang beriman.

FASAL 9

Banu ‘Amru bin ‘Auf tetaplah di atas pegangan lama mereka sama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dulu dan tiap-tiap puak dari ( suku khazraj ) hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan adil dan berkebajikan di kalangan orang-orang yang beriman.

FASAL 10

Banu Al-Nabiet ( dari Yathrib ) tetaplah di atas pegangan lama mereka sama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dulu dan tiap-tiap puak dari ( suku khazraj ) hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan adil dan berkebajikan di kalangan orang-orang yang beriman.

FASAL 11

Banu Aus ( dari Yathrib ) tetaplah di atas pegangan lama mereka sama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dulu dan tiap-tiap puak dari ( suku khazraj ) hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan adil dan berkebajikan di kalangan orang-orang yang beriman.

FASAL 12

Bahawa orang-orang yang beriman tidaklah boleh membiarkan sebarang masalah di antara mereka sendiri bahkan mestilah sama-sama bertanggungjawab memberi sumbangan, dengan berkebajikan , untuk membayar wang tebusan darah dengan adil.

FASAL 12-B

Hendaklah seorang yang beriman itu tidak membuat apa-apa perjanjian dengan orang lain yang di bawah kawal seseorang yang beriman yang lain dengan tidak mendapat persetujuan terlebih dahulu.

Fasal 13

Bahawa orang-orang yang beriman lagi bertaqwa hendaklah menentang sesiapa yang membuat kesalahan, melanggar kesusilaan, melakukan kezaliman, atau dosa, atau perseteruan, atau kerosakan di kalangan orang-orang yang beriman dan mereka hendaklah bersatu sama-sama menentang orang tersebut walaupun jika orang itu adalah anak kepada salah seorang dari mereka.

FASAL 14

Tidak sayugianya seorang mu’min itu membunuh seorang mu’min yang lain kerana seorang kafir dan tidak juga sayugianya ia menolong mana-mana orang kafir terhadap seorang mu’min.

FASAL 15

Bahawa jaminan Allah itu adalah satu dan sama, ia melindungi nasib orang yang lemah dari perbuatan mereka dan bahawa orang-orang mu’min hendaklah saling menjamin sesama sendiri terhadap ( gangguan ) orang-orang lain.

FASAL 16

Bahawa orang-orang Yahudi yang menyertai kita hendaklah mendapat pertolongan dan pimpinan dengan tidak dizalimi dan tidak boleh ada pakatan tidak baik terhadap mereka.

FASAL 17

Bahawa perdamaian orang-orang mu’min itu adalah satu dan sama. Oleh itu tidak boleh dibuat perjanjian dengan mana-mana orang mu’min tanpa diturut oleh mu’min yang lain dalam sesuatu perang pada jalan Allah melainkan dengan dasar persamaan dan berkeadilan di kalangan mereka.


FASAL 18

Bahawa setiap serangan terhadap kita hendaklah dikira sebagai serangan terhadap semua. Oleh itu hendaklah disilih gantikan tenaga menentangnya.

FASAL 19

Bahawa orang-orang mu’min hendaklah saling membela sesama mereka atas setiap darah yang tumpah pada jalan Allah.

FASAL 20

Bahawa orang-orang mu’min lagi bertaqwa hendaklah teguh di atas sebaik-baik petunjuk dan seteguh-teguhnya.

FASAL 20-B

Bahawa tidak boleh mana-mana orang musyrik melindungi harta orang-orang Quraisy dan tidak juga nyawa mereka dan tidak boleh menghalang orang mu’min ( akan haknya ).

FASAL 21

Barang siapa membunuh dengan sewenang-wenangnya akan seorang mukmin dengan tidak ada bukti yang cukup hendaklah dihukum bunuh balas kecuali jika dipersetujui oleh wali yang kena bunuh menerima ganti darah. Semua orang mu’min hendaklah bersatu suara mengutuk perbuatannya itu, bahkan tidak harus bagi mereka melainkan menegakkan terhadapnya.

FASAL 22

Bahawa tidak harus bagi mana-mana orang mu’min yang mengakui isi kandungan Piagam ini dan percaya kepada Allah dan hari Kiamat menolong mana-mana orang yang mencabul ataupun melindungi orang itu. Barangsiapa menolong orang itu maka ke atasnya laknat Allah dan kemurkaanNya pada Hari Kiamat kelak dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan dan tidak juga sebarang taubat.

FASAL 23

Walau bagaimana berbalahnya kamu sekalipun dalam sesuatu perkara hendaklah merujukkan perkara itu kepada Allah dan kepada Muhammad.

FASAL 24

Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah turut membelanja bersama-sama dengan orang-orang mu’min selama mana mereka itu berperang.

FASAL 25

Bahawa orang-orang Yahudi dari Bani ‘Auf adalah satu ummah bersama orang-orang mu’min; mereka bebas dengan agama mereka sendiri, dan orang-orang Islam dengan agama mereka sendiri, begitu jiuga orang-orang yang bersekutu dengan mereka dan begitu juga diri mereka sendiri melainkan sesiapa yang zalim dan berbuat dosa maka hal itu tidak akan menimpa melainlkan dirinya dan keluarganya sendiri.

FASAL 26

Yahudi Bani al- Najjar ( diperlakukan ) sama dengan Yahudi Bani ‘Auf

FASAL 27

Yahudi Bani al- Hatith ( diperlakukan ) sama dengan Yahudi Bani ‘Auf


FASAL 28

Yahudi Bani Saidah ( diperlakukan ) sama dengan Yahudi Bani ‘Auf

FASAL 29

Yahudi Bani Jusyam ( diperlakukan ) sama dengan Yahudi Bani ‘Auf

FASAL 30

Yahudi Bani al- Aus ( diperlakukan ) sama dengan Yahudi Bani ‘Auf

FASAL 31

Yahudi Bani Tha’labah ( diperlakukan ) sama dengan Yahudi Bani ‘Auf, kecuali orang yang zalim dan orang yang berbuat dosa maka hal itu tidak akan menimpa melainkan dirinya dan keluarganya sendiri.

FASAL 32

Bahawa suku Jafnah yang bertalian keturunan dengan Yahudi Bani Tha’labah ( diperlakukan ) sama dengan mereka itu ( bani Tha’labah )
FASAL 33

Banu Shutaibah ( diperlakukan ) sama dengan Yahudi Bani ‘Auf dan sikap yang baik hendaklah membendung segala kejahatan

FASAL 34

Bahawa orang-orang yang bersekutu dengan Yahudi Bani Tha’labah ( diperlakukan ) sama dengan mereka itu.

FASAL 35

Bahawa para pegawai kepada orang-orang Yahudi ( diperlakukan ) sama dengan orang-orang Yahudi itu sendiri.

FASAL 36

Tidak seorang pun yang menyertai Piagam ini boleh menarik diri keluar dari pakatan mereka melainkan dengan persetujuan dari Muhammad.

FASAL 36-B

Tidak boleh disekat dari membalas kelukaan yang dilakukan oleh mana-mana orang ke atas dirinya dan barang siapa membuat kejahatan maka balasannya adalah ke atas dirinya dan keluarganya kecuali orang yang kena zalim dan bahawa Allah akan melindungi orang yang menghormati Piagam ini.

FASAL 37

Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah membiayai negara seperti mana orang-orang Islam juga hendaklah membiayai negara; dan hendaklah mereka sama-sama tolong –menolong menentang sesiapa juga yang memerangi orang-orang yang menganggotai Piagam ini, dan hendaklah mereka saling nasihat dan menasihati, sama-sama membuat kebajikan terhadap perbuatan dosa.

FASAL 38

Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah memikul biayaan bersama-sama orang-orang mu’min mana mereka berada dalam keadaan perang.

FASAL 39

Bahawa kota Yathrib adalah terpelihara sempadannya tidak boleh dicerobohi oleh mana-mana pihak yang menganggotai Piagam ini.
FASAL 40

Bahawa jiran tetangga hendaklah diperlakukan sebagai diri sendiri, tidak boleh dilakukan terhadapnya sebarang bahaya dan juga dosa.

FASAL 41

Tidak boleh dihampiri sebarang kehormatan ( wanita ) melainkan dengan izin keluarganya sendiri.

FASAL 42

Bahawa apa juga kemungkaran ( bunuh ) atau apa juga pertengkaran di antara sesama peserta Piagam ini sekira-kira dikhuatiri membawa kepada bencana maka hendaklah dirujukkan kepada hukum Allah dan kepada penyelesaian oleh Muhammad, Pesuruh Allah dan Allah menyaksikan kebaikan isi kandungan Piagam ini dan merestuinya.

FASAL 43

Bahawa tidaklah boleh diberi perlindungan kepada Quraisy ( musuh ) begitu juga tidak boleh diberi perlindungan kepada orang-orang yang membantunya.

FASAL 44

Bahawa hendaklah ada janji bantu membantu mempertahankan kota Yathrib daripada mana-mana pihak yang mencerobohnya

FASAL 45

Apabila mereka diajak untuk berdamai atau untuk masuk campur dalam satu-satu perdamaian maka hendaklah mereka bersedia berdamai atau masuk campur ke dalam perdamaian itu; dan bila mana mereka diajak berbuat demikian maka orang-orang mu’min hendaklah merestuinya kecuali terhadap orang-orang yang memerangi agama ( Islam ).

FASAL 45- B

Semua pihak adalah berkewajipan mengambil bahagian masing-masing tentang satu-satu perdamaian.

FASAL 46

Bahawa orang-orang Yahudi Aus sendiri dan begitu juga orang-orang yang bersekutu dengan mereka hendaklah mengambil kewajipan sama seperti mana-mana pihak lain yang menganggotai ini demi kebaikan semata-mata ( perdamaian ) dari anggota-anggota Piagam ini. Dan mereka hendaklah berbuat kebajikan dengan tidak melakukan dosa kerana barang siapa yang berbuat sesuatu maka dialah yang menanggung sendiri. Dan Allah menyaksikan akan kebenaran isi kandungan Piagam ini dan merestuinya.

FASAL 47

Bahawa Piagam ini tidak boleh dipakai bagi melindungi orang-orang zalim dan yang bersalah dan bahawa – mulai dari saat ini barang siapa berpergian dari Kota Madinah atau menetap di dalamnya adalah terjamin keselamatannya kecuali orang-orang yang zalim atau yang bersalah. Dan bahawa Allah merestui setiap orang yang membuat kebajikan dan bertaqwa dan bahawa Muhammad hendaklah diakui sebagai Pesuruh Allah.

*****************************************************************************

Carta perjanjian ini memberi petanda mengenai Syari’ah Islamiyyah, kita sebutkan seperti berikut:

Pertama.

Fasal pertama menunjukkan Islamlah satu-satunya yang dapat mengikat perpaduan ummah Muslimin. hanya Islam sahaja yang menjadikan umat islam sebagai yang tunggal, sedangkan segala jurang pemisah dan kasta pemisah terpupus dan hancur oleh ikatan perpaduan yang menyeluruh. Ini boleh difahami dengan jelas dari segala apa yang diucapkan oleh Rasulullah Salallahu ‘ Alaihi Wasallam

Ertinya:

“Orang-orang Muslim samada dari Quraisy atau dari Yathrib ( Madinah ) atau yang menyusul mereka dan bertemu dengan mereka serta berjuang bersama mereka adalah ummah dari kalangan mereka.”

Inilah tapak pertama yang tidak dapat tidak menjadi satu kemestian untuk mendirikan sebuah masyarakat Islam yang kukuh dan sejati.

Ke Dua

Fasal ke dua dan ke tiga menunjukkan kepada kita antara tanda-tanda keperibadian masyarakat Islam iaitu perpaduan ( Solidarity ) dan kesejahteraan yang jelas sesama Islam. Tiap seorang bertanggung-jawab terhadap yang lain mengenai soal-soal dunia dan seterusnya soal-soal akhirat

Boleh diperhatikan bahawa seluruh hukum-hukum syari’at dan kanun-kanun Islam adalah berdasarkan kepada tanggung jawab seperti di atas dan seterusnya menentukan cara-cara perlaksanaan dasar kesejahteraan dan perpaduan sesama Islam di dalam bentuk yang sihat.


Ke Tiga

Fasal ke enam membuktikan sejauh mana terlaksananya dasar persamaan secara Islam secara amali atau praktik dan bukanlah dalam bentuk seruan dan slogan yang memikat tetapi ianya sebagai salah satu rukun di antara rukun-rukun syari’ah yang penting di dalam masyarakt Islam yang wajib dilaksanakan dan diparktikan di dalam bentuk-bentuk yang sihat dan sesuai. Contoh perlaksanaan dasar ini dapat diperhatikan dari apa yang putuskan oleh Baginda Rasulullah saw di dalam fasal itu dengan sabdanya:
“Janji Allah hanya satu yang bawah ( rakyat biasa ) dapat melindungi sesiapa saja.”

Ini bererti bahawa janji seorang muslim adalah suci dan mulia. Perlindungannya adalah terpelihara tanpa diganggu atau dicerobohi oleh sesiapa. Sesiapa saja yang mendapat perlindungan orang Islam maka tidak siapa pun samada ada pemerintah atau orang biasa boleh melanggar dan mencerobohi kehormatanannya tadi. Demikian juga yang berlaku pada wanita Islam tidak berbeza langsung dengan lelaki Islam. Suaka atau perlindungannya juga dihormati dan tidak dicerobohi dan mana-mana pihak biar setinggi mana sekalipun kedudukannya di dalam masyarakat itu. Kenyataan ini adalah disepakati oleh para ‘ulama’ dan Imam-Imam Mazhab.

Hanya dengan beberapa syarat tertentu disebutkan oleh para Fuqaha’ –umpamanya tidak boleh melindungi orang-orang yang merosakkan Islam seperti pengintip. Hanya kepada bilangan terhad, untuk masa tertentu tidak melebihi 4 bulan ( rujuk Mughni Al- Muntaj, jil 4 hal 238)

Al- Syaikhan* dan lain-lainnya meriwayatkan:

Bahawa Ummu Haniyy binti Abi Talib telah pergi menemui Rasullah saw pada tahun pembukaan Mekah lalunia berkata:
“Ya Rasulullah saw , adikku menuntut untuk membunuh seorang lelaki di bawak perlindunganku iaitu Fulan ibnu Hubairah, lalu Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
“Wahai Ummu Haniyy, sesungguhnya kamitelah melindungi orang-orang yang engku lindungi.”
*( Imam Bukhari & Imam Muslim ).

Di sini bolehlah anda perhatikan dan nampak sejauh mana kedudukan yang diperolehi oleh kaum wanita di bawah naungan dan pembelaan Islam. Betapa hebatnya keistimewaan dan hak asasi manusia dan masyarakat setanding dengan keistimewaan kaum lelaki tanpa diskriminasi dan belum pernah berlaku di dalam mana-mana umat dan negara lain.

Yang penting sekali ialah supaya kita dapat membezakan di antara demokrasi dan persamaan taraf yang luhur yng didirikan oleh Syari’at iIslam dengan slogan-slogan kuno yang dilaung-laungkan oleh pemabuk kemajuan moden hari ini. Itulah syari’at dan perundangan.

Islam bersamanya ada perundangan yang berdasarkan kepada persamaan yang terperinci sesuai dengan semangat dan fitrah manusia sejati, menuju medan kebahagian umat manusia sejagat lelaki maupun perempuan, individu maupun perkumpulan. Sedangkan apa yang dipekik-pekikan oleh pemabuk kemajuan itu adalah kegelojohan nafsu haiwan – bagaikan udang di sebalik batu – yang mahukan perempuan itu sebagai alat hiburan dan pelepas hawa nafsu untuk kaum lelaki secara meluas tanpa memandangkansesuatu yan lain.

Ke Empat

Fasal ke sebelas menunjukkan kita bahawa untuk mendapat pengadilan yang saksama kerana persengketaan, perbalahan dan urusan umat Islam sudah sewajibnya tidak akan merujuk ke mana-mana hanya kembali kepada syari’at dan kanun Allah swt iaitu dengan merujuk kepada Kitab Allah dan sunah RasulNya. Sejauh mana penyelesaian masalah dan krisis mereka dengan jalan selain dari jalan Allah maka seberat itulah dosa yang akan dipikulnya, seterusnya mendedahkan diri mereka dengan kesiksaan di dunia dan balasan azab Allah di Hari Akhirat.

Demikianlah empat perundangan yang terkandung di dalam carta sebagai asas penegakan Negara Islam di Madinah. Dengannya juga dijadikan program dan tata perjalanan umat Isam di dalam masyarakat baru mereka, namun demikian di dalamnya turut tersirat kanun-kanun lain bila diamat-amati sedalam-dalamnya.

Dengan terlaksananya carta perjanjian ini dan berpandukan dengan isipadunya serta berpegang teguh dengan hukum-hukumnya maka tertegaklah Negara Islam itu di atas satu tapak ( platform ) yang kukuh lagi ampuh dan dari itu maka berkembanglah Negara Islam ini dengah megahnya ke merata jagat, timur dan barat dan di masa yang sama menyumbangkan tamaddun dan kemajuan serta kemakmuran yang sihat kepada umat alam ini, satu tamaddun yang begitu megah dan agung yang belum pernah disaksikan sebelum ini.

Apakah konsep atau slogan satu Malaysia yang dicanangkan oleh pemerintah kita hari ini sama dengan Piagam Madinah ini. Apakah Islam dijadikan tunggak untuk perpaduan. Adakah Qur’an dan Hadis Nabi dijadikan bahan rujukan untuk penyelesaian satu-satu masaalah dan panduan pemerintahan. Adakah pemimpin-pemimpin kita orang yang sepenuhnya beriman dan takut pada Allah dan RasulNya. Islam menggalakkan perpaduan, marilah kita sama-sama bermuhasabah!!!

1 comment:

  1. nak tanya kenapa eh 23 fasal dari orang islam dan 24 fasal dari yahudi ?

    ReplyDelete