Malaysian Time

Blog Design by Bling on the Blog

Tuesday, July 14, 2009

Kisah 1

6.30 petang, Julai 14, 2009, saya bersama dua orang sahabat sedang menikmati cendol istimewa bersama cucur udang di sebuah restoran di deretan kedai yang baru berkembang di pinggir bandar Sungai Petani. Seorang gadis yang agak comel berseluar jean melintas lantas mencuri pandangan kami. Gadis itu baru selesai berurusan dengan sebuah stokis barangan kulit lantas menuju ke keretanya.
Agaknya beliau mengejar masa kerana tanpa memikirkan siapa di belakangnya beliau terus mengundurkan keretanya keluar dari tempat letak kereta dengan agak pantas. Sebuah kereta yang berlalu di situ hampir melanggarnya kalau tidak berdaya mengelak sebentar tadi. Tanpa menghiraukan sesiapa atau beliau cuba untuk menunjukkan kemahirannya memandu atau kerana beliau rasa hebat diperhatikan oleh kami, keretanya terus diundurkan dan kemudiannya "bang!" sebuah motorsikal melanggarnya hanya beberapa saat saja selepas sebuah motorkar sebentar tadi hampir melanggarnya.
Pemandu motorsikal itu tergolek di jalan dan cuba bangun tetapi gagal. Tulang keting kaki kirinya patah dan terbalik ke belakang. Mukanya berdarah kerana menyembam tar jalan dan giginya mungkin patah beberapa batang kerana kelihatan darah mengalir agak deras dari mulutnya.
Si gadis pemandu kereta itu lantas keluar dari kereta tetapi apa yang dilihatnya. Belakang kereta MyVinya. Sambil menyeranah pemandu motorsikal yang melanggar keretanya, dia berkata:
" Habis kereta baru...........( menyebut namanya )." sambil menanggis terinsak-insak.
Kami hanya melihat gelagatnya dan berusaha untuk menghantar pemandu motorsikal berkenaan ke hospital Sungai Petani.

Apa yang kami pelajari dari cerita ini.

Kesilapan pemandu MyVi

1. Kesilapan pemandu MyVi yang tidak menghiraukan orang lain sewaktu mengundurkan keretanya dan berharap orang lain akan menghormati keputusannya.
2. Mungkin dia tergesa-gesa dan terlupa bahawa jalan ini banyak orang lain yang menggunakannya
3. Mungkin dia cuba berlagak dengan kereta barunya apabila diperhatikan oleh lelaki.
Kesilapan pemandu motorsikal
1. Memandu agak laju dan mengekori rapat kereta di hadapan hingga gagal untuk mengelak kereta yang mengundur itu
2. Beliau mungkin tergesa-gesa untuk ke tempat kerjanya. Malangnya kejadian itu berlaku lebih kurang 150 meter dari tempat kerjanya.
Kerosakkan kereta MyVi itu yang saya kira berusia 6 bulan boleh diganti dan boleh dibayar oleh insuran tetapi bagaimana pula nasib si pemandu motorsikal itu. Si gadis tadi tidak langsung menghiraukan akan kemalangan dan kecedaraan yang ditimpa oleh si pemandu motorsikal tetapi sebaliknya keadaan kereta beliau. Beliau menanggis bukan kerana kecederaan si pemandu motorsikal yang juga seorang insan yang malang hari itu tetapi kerena keretanya yang kemek. Cuba fikir-fikirkan.
Pada hari itu sewaktu saya balik ke rumah dari pejabat saya, di sepanjang 50 km perjalanan itu, saya menyaksikan dua lagi kemalangan jalanraya. Walaupun begitu saya tidak berhenti untuk melihatnya.
Kisah 2
1hb. Januari 2005, seorang sahabat saya telah menulis di dalam diarinya akan azam tahun barunya. Bila saya tanyakan apa dia, beliau menjawab untuk mengurangkan jumlah RM saman jalanraya yang dibayarnya setiap tahun sebelum ini. Saya bertanyakan beliau berapakah saman yang dibayarnya hampir setiap tahun sebelum ini. Beliau menjawab RM 3,000. Ini bermakna purata setiap bulan beliau terpaksa membayar saman di atas kesalahan jalanraya yang dilakukannya adalah RM 250.00
Saya menyarankan pada agar beliau juga akan berazam untuk membayar zakat, menderma kepada anak-anak yatim dan badan kebajikan dan juga saya menyarankan agar tahun ini beliau juga akan melakukan ibadah korban pada hari raya Id'ul Adha nanti. Juga jangan lupa berbaktilah sedaya yang mungkin pada ibubapa. Cubalah lakukan apa yang saya katakan ini, Insya Allah akan ada perubahan nanti, inilah kata-kata saya sebelum mengakhiri perbualan saya dengan sahabat saya pada hari itu.
Desimber 2008. Selepas solat Dzohor di sebuah masjid yang saya tidak singgah di sini selepas empat tahun lalu, saya secara kebetulan berjumpa dengan sahabat lama saya. Saya ke bandar ini kerana urusan perniagaan saya dan sahabat saya itu memang masjid inilah masjid kariahnya. Apabila saya tanya adakah urusan lain selain solat, jawabnya, saya hendak membayar duit lembu korban untuk ibadah korban pada hari idul adha tahun ini pada bendahari masjid. Saya hanya merenung wajahnya dengan penuh kegembiraan. Cuma RM 2000 saja seekor jika dibandingkan dengan duit saman trafik RM 3,000 setahun. Beliau terus memeluk saya sambil berkata terima kasih pada saya kerana telah menunjukkan jalan kebenaran padanya.
Apa yang saya diberitahu, selepas pertemuan saya empat tahun lalu, sahabat saya itu benar-benar telah menunaikan saranan saya. Pada tahun-tahun berikutnya beliau tidak ada kes saman jalanraya langsung. Beliau menunaikan zakat, menderma pada sebuah sekolah agama rakyat dan rumah anak yatim dan menjaga kebajikan ibubapanya. Pada mula beliau melakukan ibadah korban i'dul adha hanya 1/7 bahagian saja, kemudian 2/7 bahagian dan kini satu ekor lembu. Perniagaannya sebagai kedai fotostat juga semakin berkembang pesat dari dua buah mesin fotostat kini sudah ada 6 buah dan sudah ada 6 pekerja yang mengendalikan selain dari fotostat ia juga mengendalikan perbagai perkhidmatan yang berkaitan percetakan daripada tidak ada langsung pada ketika dulu.
"Allah memberikan hikmah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan barangsiapa yang diberi hikmah, sesungguhnya telah diberi kebajikan yang banyak. Dan tak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang berakal."
Al Baqarah:269
Apa yang kita belanjakan ke jalan kebaikan, Allah akan gantikan balik kepada kita secara langsung atau tidak langsung selain daripada mendapat pahala. Setiap sen yang kita belanjakan kepada kebajikan Allah akan gantikan dengan sen atau dengan cara lain. Contohnya sahabat saya tadi setiap ringgit yang dibelanjakan untuk kebajikan, zakat dan seumpamanya, Allah telah gantikan dengan perniagaannya yang terus berkembang, beliau terhindar dari saman lalulintas.Diberikan Allah kesihatan dan keberkatan rezeki. Beliau seolah-olah ada gerak hati untuk tidak melewati had laju apabila melalui sesuatu jalanraya dan terbukti kemudiannya memang ada perangkap hadlaju di situ. Cuba fikir-fikirkan
"Perumpamaan ( nafkah yang dikeluarkan oleh orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah) adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir, seratus biji. Allah melipatgandakan ( ganjaran ) bagi siapa yang Dia dikehendakinya. Dan Allah Maha Luas ( kurnianya ) lagi Maha Mengetahui."
Al Baqarah:261

No comments:

Post a Comment