Apa Bezanya ( Bahagian 2 )
Seorang ayah yang telah uzur mewasiatkan dua buah kedai mini "mini market" kepada kedua-dua anak lelakinya. Anak yang sulung diwasiatkan kedai di hujung pekan sementara anak yang bongsu diwasiatkan kedai berhampiran dengan rumahnya.
Selang tidak beberapa hari kemudian, si bapa telah menghembuskan nafas yang terakhirnya dan tinggallah ke dua anak lelaki ini bersama ibunya untuk meneruskan perniagaan yang telah diusahakan oleh ayah mereka sebelum ini.Walaupun begitu sebelum ayah mereka meninggal dunia, si ayah telah berpesan dua perkara kepada anak-anak lelakinya itu. Pesanan itu adalah:
1. Jangan menuntut hutang kepada orang yang kita beri hutang
2. Jangan terkena cahaya matahari sewaktu pergi berniaga dan juga waktu balik ke rumah.
Selang beberapa tahun kemudian, si ibu bertanyakan hal perniagaan yang diusahakan oleh anak-anaknya.
Anak lelaki yang bongsu berkata dia mengikuti sepenuhnya akan pesanan ayahnya dan kini perniagaannya semakin merosot dan kehabisan modal. Ini kerana:
1. Dia tidak menuntut hutang kepada orang yang berhutang dengannya. Ini menyebabkan mereka gemar berhutang dan tidak langsung ada niat untuk membayarnya. Akibatnya modal perniagaannya semakin susut dan hampir muflis kini.
2. Dia juga ke kedainya dengan menaiki kereta kerana ayahnya berpesan supaya dia tidak terkena cahaya matahari sewaktu pergi dan balik dari kedainya. Ini menyebabkan ada kos pengangkutan dan kereta yang perlu diselenggarakan.Ini memakan modal juga walaupun kedainya dekat sahaja dari rumahnya dan dia boleh berjalan kaki saja
Si ibu bertanya pula hal perniagaan kepada anak lelaki sulungnya.Si anak sulung berkata dia mengikuti sepenuhnya akan pesanan ayahnya dan kini perniagaannya amat maju dan berkembang pesat.Ini kerana:
1. Dia tidak langsung memberi hutang kepada pelanggannya dan ini menyebabkan modalnya tidak berkurangan. Dia tidak perlu menuntut hutang dari sesiapa pun. Hasil harian perniagaannya adalah di dalam bentuk tunai dan dia ada lebihan dari keuntungan urusniaganya dan ia berupaya untuk membesarkan perniagaannya.
2. Dia ke kedai seawal waktu pagi selepas subuh sebelum matahari terbit dan kembali ke rumah hanya selepas matahari terbenam sepenuhnya. Ini membolehkannya membuka kedai seawal pagi sebelum orang lain berbuat demikian dan menutup kedai hanya selepas orang lain berbuat demikian.Pelanggan-pelanggannya begitu gembira dengan waktu perniagaannya kerana mereka boleh berurusan dalam waktu yang panjang dan boleh mendapatkan keperluan pada bila-bila masa saja.Semakin hari pelanggannya semakin bertambah ramai dan gembira dengan waktu perniagaannya.
Dua pesanan di atas adalah sama maknanya cuma bezanya bagaimana kita memahami dan mempraktikkannya. Fahaman yang mana satukah pilihan anda.
Sekian, bertemu lagi di lain cerita.
Sunday, August 16, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
kita perlu memerlukan otak untuk berfikir sebelum membuat sesuatu keputusan. Terima kasih tuan kerana memberikan saya satu pengajaran pada hari ini...
ReplyDelete