Malaysian Time

Blog Design by Bling on the Blog

Saturday, August 22, 2009

LIAM sah pemegang polisi meninggal dapat pampasan

Mangsa H1N1 dilindungi insurans
Oleh Khairunnisa Kamarudin dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my

Liam sah pemegang polisi meninggal dapat pampasan

KUALA LUMPUR: Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Liam) mengesahkan pihaknya melindungi pesakit yang menghidap penyakit berjangkit seperti selesema babi (H1N1) walaupun ada syarikat tidak berbuat demikian.

Setiausahanya, Nancy Tan, berkata 16 syarikat insurans hayat di bawah Liam akan turut membayar tuntutan pembiayaan rawatan dan hospital yang dibuat pemegang polisi disebabkan H1N1.

"Malah, bagi pemegang polisi yang meninggal dunia akibat H1N1, Liam terus membayar wang pampasan tanpa meneliti sebab kematian. Sehingga kini, Liam tiada masalah dalam pembayaran pampasan kepada pemegang polisi. Ini seba-hagian daripada tanggungjawab syarikat," katanya kepada Berita Harian, semalam.



Kelmarin Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua syarikat insurans di negara ini menyemak semula polisi dan terma perjanjian, bagi memastikan pesakit H1N1 diberi perlindungan sewajarnya.

Muhyiddin berkata, langkah itu termasuk meneliti secara jelas penyakit yang dilindungi atau dibayar dan menjelaskan sama ada H1N1 dikecualikan ataupun tidak daripada polisi insurans dibeli.

Sementara itu, syarikat pentadbir kesihatan, Medijaring Sdn Bhd, menjelaskan pihaknya bukan syarikat insurans yang memberi perlindungan sebaliknya hanya mentadbir skim kesihatan, yang ditentukan syarikat insurans.

Ketua Pegawai Operasinya, Kamarul Azman Mustapha Kamal, berkata pihaknya hanya mengikut tindakan syarikat insurans yang pada mulanya tidak melindungi pemegang polisi yang dijangkiti H1N1.

"Namun selepas beberapa syarikat insurans membuat kenyataan untuk melindungi kos rawatan berkaitan H1N1, Medijaring akan terus memberi perkhidmatan membantu pemegang polisi mengurus skim perlindungan kesihatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab laporan akhbar yang mendakwa syarikat mereka enggan memberi perlindungan kepada penghidap H1N1.

"Kami bukan syarikat insurans tetapi dilantik oleh syarikat insurans dan korporat untuk mengendalikan urusan rawatan kesihatan kepada ahli yang dilindungi," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kamarul Azman berkata, pihak insurans juga sudah membenarkan kes yang sebelum ini ditolak, dikemukakan semula untuk tuntutan.

No comments:

Post a Comment