Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 2009 Dan Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia
11 Ogos 2009
Pada 11 Ogos 2009 sejumlah 270 kes baru influenza A(H1N1) termasuk 6 kes kematian dilaporkan. Kesemuanya adalah kes tempatan yang terdiri daripada warga negara Malaysia.
Jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga 11 Ogos 2009 adalah sebanyak 2,253 kes dengan jumlah kematian 38 orang.
Untuk makluman, pada masa ini terdapat seramai 56 pesakit sedang dirawat di hospital dan 19 lagi dirawat di ICU. Daripada 19 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 4 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (2), obesiti (1) dan post -delivery (1). Seramai 11 orang telah didiscaj dari hospital semalam.
Untuk makluman, 6 kematian adalah kematian yang berlaku terdahulu dan hanya disahkan ada mendapat jangkitan H1N1 pada 6, 8 dan 9 Ogos 2009, dilaporkan pada 10 Ogos 2009 secara formal sebagai kes-kes kematian yang ada kaitan dengan jangkitan influenza A(H1N1). Empat (4) daripada kes kematian ini didapati mempunyai faktor risiko samada Diabetes, Hipertensi atau Asma. Tarikh kematian sebenar 7 kes tersebut adalah seperti berikut, 4 Ogos (1), 6 Ogos (2) dan 7 Ogos(3).
Merujuk kepada situasi global, sehingga 11 Ogos 2009, sejumlah 208,990 kes dengan 1,716 kematian telah dilaporkan daripada 174 negara. Ia merupakan peningkatan sebanyak 835 kes dengan 28 kematian berbanding dengan hari sebelumnya.
Saya ingin meminta orang ramai supaya sentiasa mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mengambil langkah-langkah berikut:
1.Bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1) (Lampiran 1) diminta SEGERA mendapatkan rawatan. Rawatan anti-viral akan diberikan tanpa memerlukan ujian pengesahan makmal. Rawatan ini sangat berkesan untuk mengubati pesakit jika dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas gejala bermula.
2.Bagi mereka yang mempunyai simptom yang ringan diminta untuk mendapatkan rawatan simptomatik. Mereka juga dinasihatkan untuk berada di rumah dan membatas pergaulan serta aktiviti di luar. Kebersihan diri dan etika batuk perlu sentiasa diamalkan. Sekiranya terpaksa keluar, pakai penutup mulut dan hidung (mask) jenis ‘three ply’ untuk mengurangkan penularan virus kepada orang lain.
3.Berikan perhatian kepada tanda-tanda amaran seperti masalah sukar bernafas, demam atau sakit dada yang berterusan, batuk/kahak berdarah, muntah/cirit-birit yang kerap. Dapatkan rawatan SEGERA apabila mengalami tanda-tanda tersebut.
4.Orang ramai diminta terus mengamalkan cara hidup sihat termasuk banyak meminum air, tidak merokok, makan secara sihat dan melakukan aktiviti fizikal. Amalkan langkah-langkah pencegahan H1N1 bagi mengurangkan penularan penyakit ini.
5.Penutupan sesebuah sekolah atau institusi bergantung kepada penilaian risiko yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah dan persetujuan bersama dengan pihak pengurusan sekolah atau institusi.
6.Di hospital kerajaan, ujian pengesahan jangkitan influenza A(H1N1) hanya dibuat untuk kes-kes yang dimasukkan ke hospital sahaja..
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300. Maklumat terkini juga boleh didapati daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia
http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.
Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai. Tindakan tepat anda dapat membantu kami memberi perkhidmatan yang berkesan.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
Tarikh: 11 Ogos 2009
Tuesday, August 11, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment