Malaysian Time

Blog Design by Bling on the Blog

Saturday, August 29, 2009

DATANGNYA PENJAJAH BARAT KE TANAH MELAYU

DATANGNYA PENJAJAH BARAT KE TANAH MELAYU

Malaysia Yang dikenali sekarang adalah sebuah negara yang telah mencapai kemerdekaannya pada 31hb. Ogos 1957. Pada waktu itu ianya dikenali dengan nama Persekutuan Tanah Melayu atau Federation Of Malaya menurut Perjanjian 1948 di antara Raja-Raja Melayu dengan Kerajaan Inggeris. Sebelum perang setelah Inggeris bertapak kuat di negeri-negeri Melayu mereka telah menamakannya Malaya. Sebelum perkataan ‘Malaya’ diperkenalkan negeri-negeri Melayu ini dipanggil dengan nama Semenanjung Tanah Melayu atau Malay Peninsular.

Dalam sudut sejarah dan ilmu alam, Semenanjung Tanah Melayu adalah salah satu negeri-negeri Melayu yang terletak dalam lingkungan gugusan pulau-pulau Melayu. Ianya diperintah dan ditadbir oleh raja-raja serta pembesar-pembesar Melayu.

Penjajah Barat yang pertama datang ke Semenanjung Tanah Melayu iaitu di Melaka ialah bangsa Portugis. Pada awalnya mereka datang dalam TM 1509 dengan tujuan untuk menjalankan perniagaan di samping menjalin tali persahabatan dengan kerajaan-kerajaan Melayu. Tetapi oleh kerana sikap tamak dan haloba menjadi kemegahan orang-orang barat untuk mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya di negeri-negeri timur maka Portugis telah memerangi Melaka.

Disebabkan kekuatan politik orang-orang Melayu pada waktu itu mulai merosot, kelemahan pentadbirannya amat ketara pada mata peniaga-peniaga dari barat itu.Sebab itu Portugis mengambil kesempatan dengan menggunakan krisis dalanm negeri serta pengkhianatan dari anak-anak negeri dengan hasutan anasir-anasir luar bertambah pula yang tidak berpuashati dengan pemerintah, Portugis telah Berjaya menakluki Melaka pada TM 1511.

Sejak itu bermulalah titik hitam dalam sejarah politik bangsa Melayu bilamana penjajah barat buat pertama kali mencengkam kukunya di negeri-negeri Melayu sekitar alam Melayu ini.

Setelah lebih 150 tahun Portugis memerintah dan menjajah Melaka maka datang pula satu lagi kuasa penjajah barat iaitu Belanda yang tidak kurang rakusnya menjajah negeri-negeri timur. Dengan bantuan Kerajaan Melayu Johor penjajah Belanda dapat mengalahkan Portugis di Melaka dalam TM 1641.

Kemudian setelah beratus-ratus tahun Belanda menjajah bukan sahaja di negeri Semenanjung Tanah Melayu tetapi juga di seluruh kepulauan Melayu yang lain, di mana dikenali kemudiannya sebagai Indonesia, maka penjajah Inggeris datang dan berjaya mengambil Melaka dari tangan Belanda melalui perjanjian pertukaran wilayah ( seolah-olah negeri-negeri Melayu harta kepunyaan mereka ) pada TM 1824.

Sehingga Inggeris dikalahkan oleh Jepun dalam bulan Disember 1941, semakin bersilih-ganti kuasa –kuasa asing menjajah Semenanjung Tanah Melayu. Bagaimanapun, Inggeris datang semula dalam bulan Ogos 1945 setelah tentera bersekutu berjaya mengalahkan Jepun serta menamatkan Peperangan Dunia Kedua.
Sebelum penjajah barat datang ke Asia Timur ini keseluruhan alam Melayu adalah terdiri dari beberapa kerajaan yang masyhur di zamannya. Dalam abad ke 3 kegemilangan Kerajaan Sri Vijaya yang berpusat di Palembang, Sumatera melangkaui hingga ke Kedah, Kelantan dan Patani. Kemudiannya tegak pula Kerajaan Majapahit dalam abad ke 12 di Jawa dengan rajanya yang mashyur Hayamwuruk dan akitek politiknya Pateh Gadjah Mada.

Di samping itu terdapat juga Kerajaan Pasai yang mengasaskan pemerintahan Islam di rantau ini dalam abad ke 13 dikuti oleh Kerajaan Melayu Melaka. Sebelum itu sudah ada Kerajaan Melayu Kedah atau Langkasuka, Kerajaan Melayu Patani dan beberapa kerajaan kecil yang tidak berpengaruh.

Selepas kejatuhan Melaka masih wujud kerajaan-kerajaan Melayu seperti Kerajaan Melayu Riau Lingga, Kerajaan Melayu Bugis, Kerajaan Bentan, Kerajaan Mataram dan beberapa lagi, namun tidaklah dapat menandingi kehebatan pemerintahan Melaka sebelumnya.

Walaupun antara 1530 – 1640 muncul kerajaan Melayu Acheh untuk mengembalikan semula kegemilangan Kerajaan Melayu di rantau ini, tetapi tidak juga dapat menebus Melaka dari tangan Portugis. Kekuatan Portugis semakin kukuh di Melaka dengan terbinanya Kota Melaka tersergam menghadapi ke pantai.

Di zaman Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam ( 1607 – 1636 ) beberapa percubaan telah dibuat oleh Kerajaan Acheh untuk menawan Melaka. Ini membuktikan semangat bangsa Melayu tidak pernah luntur walaupun negaranya terjajah untuk menebus maruah ibu pertiwimya. Bagaimanapun Iskandar Muda dapat menawan negeri-negeri bekas takluk Kerajaan Melayu, Melaka seperti Kedah, Pahang dan Johor. Sedikit sebanyak usaha-usaha Iskandar Muda ini dapat juga melemahkan kedudukan Portugis di Melaka dan membantu kemunculan Kerajaan Melayu Johor.

Dengan kemunculan Kerajaan Melayu Johor ini menguntungkan Belanda yang sudah bertapak di Bangkahulu. Melalui kerjasama Kerajaaan Melayu Johorlah pihak Belanda dapat merampas Melaka dari tangan Portugis dalam TM 1641.

Kedatangan orang-orang barat dan juga orang-orang Cina di negeri-negeri Melayu adalah berkait dengan hubungan perniagaan di samping menjalin tali persahabatan di antara satu kerajaaan dengan kerajaan yang lain.

Dalam buku Sejarah Melayu ada menyebut bagaimana eratnya hubungan Kerajaan Melayu dengan Maharaja Cina. Sejak zaman Parameswara lagi utusan Cina yang diketuai oleh Laksemana Cheng Ho, seorang yang beragama Islam, telah datang ke Melaka dalam TM 1403. Raja Melaka sendiri telah berkunjung ke Negara Cina dalam TM 1414 dalam rangka merapatkan hubungan muhibbah antara kedua kerajaan.

Di zaman pemerintahan Sultan Mansor Shah pula Maharaja Cina telah mengirimkan seorang puterinya yang bernama Hang Li Po untuk diperisterikan oleh Raja Melaka. Pengiring-pengiring dari utusan Maharaja Cina inilah dikatakan asal usul keturunan Baba di Melaka sekarang ini. Mereka ditempatkan di sebuah bukit di Bandar Melaka yang dikenali sekarang sebagai Bukit Cina.

Bila penjajah Inggeris berjaya mencengkamkan kukunya di negeri-negeri Melayu, bermulalah satu era baru. Inggeris mula membuka negeri ini kepada perusahaan melombong bijih timah dan penanaman pokok getah. Benih-benih getah yang dibawa dari Brazil telah diperkenalkan dengan ditanam secara percubaan di Singapura dan di satu kawasan kediaman kepunyaan Sir Hugh Low di Kuala Kangsar.

Kerana orang-orang Melayu pada peringkat awalnya membuat tentangan hebat ke atas usaha-usaha penjajah Inggeris maka orang-orang Inggeris merasakan kedudukan mereka tidak begitu terjamin, malah keamanan mereka sentiasa terancam. Maka Pejabat Tanah Jajahan Inggeris di London telah mula memikirkan sesuatu langkah perlu diambil supaya mereka boleh kekal menjajah disamping berupaya mengaut kekayaan sebanyak-banyaknya.

Pada awalnya Semenanjung Tanah Melayu adalah di bawah tadbir East India Company sebelum diambil alih oleh Kerajaan Inggeris. Orang-orang Melayu membuat penentangan bukan saja dari segi lahiriah tetapi juga secara psikologi. Saya masih ingat agi orang-orang tua Melayu menggunakan perkataan ‘anjing kompeni’ kepada sesiapa saja orang-orang Melayu yang memasuki anggota polis. Maksudnya, sesiapa juga yang berkerja dengan orang-orang Inggeris dan Kompeni Inggeris pada waktu itu terutamanya sebagai anggota polis, maka akan dicap dengan gelaran ‘ anjing kompeni’. Begitu juga jalanraya-jalanraya yang dibina oleh Inggeris dipanggil dengan nama ‘jalan kompeni’.

JARUM HALUS PENJAJAH

Bagi mengatasi pandangan negatif orang-orang Melayu ini, Inggeris telah menggunakan satu taktik dan helah yang paling licin sehingga tidak disedari oleh orang-orang Melayu sendiri. Melalui sistem pendidikan di sekolah-sekolah, anak-anak Melayu ditanamkan semangat ‘inferiority complex’. Di samping itu perusahaan tanaman getah juga dijadikan alat mengumpan hati orang-orang Melayu agar sejuk dan menghargai Inggeris.

Melalui raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu telah disuruh mengubah cara hidup dengan bertanam pokok getah di samping jaminan mendapatkan hasilnya yang lumayan. Orang Melayu ketika itu belum mengenali wang serta faedahnya. Apabila getah diperkenalkan dan mengeluarkan hasil, Kerajaan Inggeris telah membeli semua hasil getah tersebut. Langkah menyogokkan kemewahan maka hilanglah perasaan marah dan benci orang Melayu terhadap Inggeris. Lalu terhamburlah pujian serta sanjungan dari mulut mereka akan kebaikan Inggeris.

Disebabkan Inggeris sebagai sebuah kerajaan yang pa;ing pintar di dunia, mereka telah menkaji secara bijaksana dan mendalam sisitem nilai hidup masyarakat Melayu. Hanya dengan menguasai sistem nilai inilah mereka boleh menjadikan sesuatu bangsa itu laksana kerbau yang dicucuk hidung.

Sebagaimana kita sedia maklum sistem pentadbiran pentadbiran dan Kerajaan Melayu pada waktu itu adalah berdasarkan pemerintahan beraja. Semuanya turun dari istana yang tinggi dan balai yang panjang yakni datuk-datuk dan orang-orang besar istana. Orang-orang Melayu menumpukan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada raja dan pembesar-pembesarnya. Kalau putih kata raja putihlah kata mereka walaupun kadang-kadang yang putih itu sebenarnya hitam.

Sistem nilai masyarakat Melayu menumpukan taat setia yang tidak berbelah bagi, pantang menentang, pantang menyanggah sebarang kehendak serta kemahuan raja bukan sekadar dari segi pemerintahan saja, bahkan urusan peribadi juga nmereka tetap mematuhinya. Di sinilah terbitnya pepatah “ pantang Melayu Menderhaka’ itu. Dengan memahami sisitem nilai inilah Inggeris dapat membaca isi hati serta mengetahui di mana kelemahan orang-orang Melayu.

Maka dengan itu dapatlah mereka menjalankan taktik dan perancangan yang teratur lagi halus mempengaruhi Raja-Raja Melayu. Dengan segala kebijaksanaannya Raja-Raja Melayu telah tidak menyedari masuk ke dalam perangkap diplomasi penjajah Inggeris yang amat licik. Apa saja perintah yang dikeluarkan oleh penjajah Inggeris di London semuanya akan disalurkan melalui Raja-Raja Melayu.

Kerajaan Inggeris sendiri telah mencanagkan kepada dunia bahawa negeri-negeri Melayu ini semuanya bukanlah tanah jajahannya tetapi merupakan negeri-negeri naugan saja. Mereka membandingkan 3 negeri selat iaitu Singapura, Pulau pinang dan Melaka dengan 9 negeri-negeri Melayu lain yang mempunyai raja masing-masing.

Atas kesetiaan yang tidak berbelah bagi inilah penjajah Inggeris menggunakan jarum penindasan yang amat halus dengan sebijak-bijaknya bagi membunuh semangat kesedaran kebangsaan di kalangan anak-anak Melayu. Mereka memberikan segala kemewahan serta kemudahan bagi menawan hati raja dan pembesar-pembesar Melayu dalam usahanya ‘lulus jarum lulus kelendan’ bagi melalaikan bangsa Melayu bahawa pemerintah Inggeris selalunya bersikap adil dan saksama dalam membela nasib bangsa Melayu supaya menjadi tuan dalam negaranya sendiri.

Dengan tujuan untuk mengambil hati dan juga untuk menyakinkan dan memperkuatkan pengaruhnya supaya lebih besar lagi, penjajah Inggeris telah mendirikan sekolah menengah aliran Inggeris yang khusus untuk anak-anak orang bangsawan Melayu iaitu Maktab Melayu Kuala Kangsar ( MCKK ). Pelajar –pelajar di maktab ini terdiri dari anak-anak raja dan pembesar-pembesar Melayu saja sedangkan anak-anak Melayu dari keluarga rakyat jelata tidak berpeluang langsung untuk menjejaki kaki ke situ.

Pelajar-pelajar yang keluar dari maktab ini kebanyakannya akan diambil oleh Inggeris menjadi Penolong-Penolong Pegawai Daerah ( ADO ) dan dihantar berkhidmat ke seluruh Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ( FMS ) iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Kebanyakan mereka ini memang telah disuapkan dengan gula-gula manis Inggeris, pandangan serta pemikiran mereka terhadap bangsa Melayu yang menjadi rakyat jelata adalah mengikut acuan Inggeris dan tuangan yang dibuat oleh penjajah Inggeris. Malah ada di antaranya lebih Inggeris dari Inggeris sendiri.

Anak-anak bangsawan yang menjadi Penolong pegawai Daerah inilah selalunya menjadi jurucakap-jurucakap Pegawai Daerah ( Tuan DO ) bangsa Inggeris dalam menyampaikan sesuatu kepada orang-orang Melayu di kampung sehubungan dengan sistem pentadbiran Inggeris. Dengan yang demikian orang-orang Melayu yang bersifat ‘pelepah yang tidak akan melampau pucuk’ itu menganggap apa jua yang disampaikan oleh Inggeris melalui Penolong-Penolong Pegawai Daerah tadi adalah perintah dari pembesar-pembesar mereka atau perintah dari raja.

Di sekolah-sekolah Melayu pula anak-anak Melayu diajarkan mata pelajaran sejarah dan ilmu alam yang melambangkan keperibadian, kemegahan, kebesaran dan keberanian bangsa Inggeris, selain dari mata pelajaran ilmu hisab dan karangan. Pembesar-pembesar Melayu seperti Mat Kilau, Dato’ Bahaman dan Tok Gajah Imam Rasu di Pahang, Tok Janggut di Kelantan, Dato’ Maharaja Lela Dan Ngah Ibrahim di Perak, Raja Mahadi Di Selangor, Dol Said, Dato’ Naning dan Dato’ Siamang Gagap di negeri Sembilan, Rosli Dobi di Serawak dan ramai lagi yang tidak dapat dicari, namanya sekalipun harum semerbak di serata pelusuk negeri sebagai pembela bangsa, tetapi mereka semuanya dianggap sebagai penentang dan yang mendorongkan rakyat kepada penderhakaan terhadap pemerintahan iaitu Raja Negeri. Orang Inggeris memutarbelitkan hakikat sebenarnya bahawa pahlawan-pahlawan Melayu yang menentang pencerobohan dan penjajahan Inggeris di tanah airnya sendiri dianggap penderhaka negara dan patut diburu dan dibunuh.

Menjajah Semangat

Anak-anak kecil di sekolah juga diajar menyebut ‘King’ Inggeris dengan sanjungan melangit. Kalau adat Melayu membahasakan Rajanya “Duli Yang Maha Mulia Tuanku”, maka untuk menyebut ‘King’ anak-anak sekolah dilatih menyebut dengan panggilan “Duli Yang Maha Mulia Lagi Maha Besar Baginda King George V” iaitu ditambah lagi perkataan ‘maha besar’ seolah-olah sama tarafnya dengan Allah swt. Inilah cara Inggeris meracuni pemikiran anak-anak Melayu supaya akhirnya mereka bersikap pasif, patuh dan taat membuta tuli dan tidak percaya pada diri sendiri lagi. Sebelum perang orang-orang Melayu tidak sedikit pun merasa curiga apa lagi tidak puashati dengan pentadbiran Inggeris. Mereka menganggap pentadbiran Inggeris adalah satu-satunya pentadbir yang paling adil dan saksama di dalam dunia, sehinggalah mereka sanggup bernaung di bawah panji-panji Inggeris. Sekalipun taraf negeri-negeri Melayu adalah bernaung pada pemerintahan Inggeris, tetapi hakikat sebenarnya ialah dijajah secara mutlak. Agaknya sesuailah nasib bangsa Melayu ketika itu yang dikatakan ‘bukan salah ibu mengandung, memang nasib celaka badan.’

Pegawai-pegwai Inggeris yang datang ke sini telah diberi latihan terlebih dahulu di Pejabat Tanah Jajahan di London bagi membolehkan mereka fasih bertutur Bahasa Melayu, memahami adat istiadat Melayu dan yang lebih penting lagi dilatih bagaimana menghambakan diri dengan berpatik dan bertuanku kepada Raja-Raja dan pembesar-pembesar Melayu supaya rakyat jelata Melayu dapat digambar dan dicorakkan supaya merasa rendah diri mereka seolah-olah bangsa Melayu menjadi ‘tuan’ di tahanair sendiri.

Inggeris telah memuji bangsa Melayu sebagai bangsa yang berani, bangsa yang berbudi bahasa, beradat sopan,bertertib, bersopan santun dan tiada tolok bandingnya dengan bangsa-bangsa lain di dalam dunia ini menyebabkan bangsa Melayu ketika itu mabuk dengan puji-pujian sehingga jadilah ‘Pak Kaduk: Kalau sabung menang sorak tidak mengira kampung tergadai.’

Pada bulan Mac 1933, satu pasukan askar Melayu telah ditubuhkan. Pegawai-pegawai Inggeris telah memuji-muji askar Melayu sebagai askar yang gagah perkasa di dunia selepas askar-askar King’s Guard Inggeris. Pujian yang melambung ini menjadikan orang-orang Melayu ‘kembang hidung’ laksana bajak wangkang makan diangkat. Tinggallah orang-orang Melayu hidup dalam hayalan penuh dengan angan-angan kerana cara hidupnya yang dianggap senang itu pada hakikatnya hanyalah sekadar cukup makan, cukup pakai dan ada rumah, kemana pergi bebas dan aman. Orang melayu boleh bersembang di kedai kopi berjam-jam lama tanpa siapa boleh melarang dan menggangu gugat.

Negeri aman sentosa kerana tiada pergaduhan, tidak ada mogok, tidak ada permusuhan, tidak ada rusuhan dan tidak ada demostrasi, tidak ada politik, tidak hirau hendak jadi wakil rakyat seperti sekarang. Pemuda-pemuda ditawarkan berkerja menjadi askar, polis,pemandu ataupun peon. Mereka ditanamkan semangat ‘makan gaji’ dengan segala kemuliaan sebagai orang ‘orang kerajaan’ sekalipun jawatan-jawatan itu hanya sebagai penarik pangkah atau kipas di bilik Tuan DO bangsa Inggeris.

Tidak seorang pun orang Melayu yang digalakkan supaya melibatkan diri dalam bidang perniagaan, perusahaan dan teknikal. Ini kerana orang Inggeris telah menanamkan semangat ‘TUAN” kepada orang-orang Melayu sehingga mereka menganggap bidang perusahaan, perniagaan dan teknikal itu sebagai pekerjaan yang hina dan menyusahkan dan hanya layak untuk bangsa-bangsa pendatang.

Mempunyai taraf pendidikan yang rendah menyebabkan mentaliti orang-orang Melayu tidak menyedari bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang turun temurun menjalankan perniagaan dan perusahaan sejak zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka lagi.Malah sebelum kedatangan orang Inggeris, Raja Jumaat sudah pun membuka perusahaan lombong bijih timah di Lukut pada tahun 1836 dan diikuti oleh Raja Abdullah ( adik Raja Jumaat ) di Ampang, Kuala Lumpur dalam tahun 1856. Malah seorang peniaga Melayu yang bterkenal pada masa itu iaitu Sutan Puasa sudahpun membuka kedai nasi ( atau restoren pada masa kini ) di Kuala Lumpur semasa kedatangan Raja Abdullah. Orang melayu juga telah berupaya membina bot atau kapal berupaya tinggi untuk merentasi samudera lama dahulu.

Oleh kerana khayal dengan mimpi-mimpi indah yang diadakan oleh Inggeris terhadap bangsa Melayu menjadikan mereka terlalu menyanjung pentadbir Inggeris sebagai kerajaan paling adil, tambahan pula mereka diyakinkan lagi oleh titah dan kata-kata Raja serta pembesar-pembesar Melayu akan kebaikan dan keadilan pemerintahan Inggeris ketika itu.

Semangat kemuliaan makan gaji telah ditanam begitu mendalam di kalangan masyarakat, orang-orang kampung merasakan kedudukan kakitangan kerajaan dan orang yang makan gaji terlalu tinggi sekalipun ianya Cuma seorang pemandu ataupun peon. Apa lagilah kalau seorang polis dan askar lebih-lebih lagi guru atau kerani. Meraka akan dianggap amat bertuah serta mempunyai kedudukan yang paling tinggi dalam masyarakay Melayu ketika itu.Mereka juga mudah mendapat jodoh di kalangan gadis –gadis kampung yang cantik-cantik dan mendapat restu dari keluarga mereka kerana kedudukan yang terjamin di masa hadapan.

Hari ini semangat yang ditiupkan oleh penjajah itu masih tebal di kalangan orang-orang melayu dan menganggap makan gaji itu adalah pilihan utama daripada berniaga atau berusaha sendiri. Orang Melayu juga masih lagi dibuai hayalan mimpi di siang hari . Ini terbukti apabila banyak slot-slot hiburan dibanjiri oleh anak-anak Melayu dan cuba menjadi hero selebriti. Filem-filem dan drama-drama Melayu di kaca TV dan pawagam masih berkisar pada hayalan dan mimpi indah . Malangnya penganjurannya juga dilakukan oleh orang-orang melayu sendiri. Inilah dikatakan lebih penjajah dari penjajah.Di manakah makna ‘KEMERDEKAAN’ itu kini.

DASAR PINTU TERBUKA

Ketika orang-orang melayu hayal dengan pujian melangit, mereka megah dann bangga kerana dianggap ‘TUAN’ sebagai kakitangan kerajaan, sat itulah penjajah Inggeris membuka pintu seluas-luasnya kepada orang-orang Cina dan India untuk masuk ke Negara ini dengan tidak ada batas halangan langsung, demi kepentingan penjajahannya.

Mereka dibawa masuk oleh penjajah sebagai buruh-buruh bagi mengerjakan lombong-lombong bijih timah, estet-estet getah dan pembangunan bandar-bandar di seluruh tanah air termasuklah pembinaan jalanraya-jalanraya dan jalan keretapi. Di samping itu orang-orang Cina pula membuka perniagaan perniagaan mereka dari bandar hingga jauh ke perkampungan baru Cina dan Melayu. Orang-orang Melayu yang hayal macam ikan mabuk tuba itu bak di alam fantasia menjadi pemerhati dan pembeli yang setia pada orang-orang asing dan memanggil mereka ‘taukay.’

Semenanjung Tanah Melayu dibuka dengan ghairahnya sejak tahun 1930an di mana rimba belantara, gunung-ganang, lembah dan sungai diterokai menjadi estet getah dan lombong. Dataran indah dijadikan pekan pesara.Namun kekayaan yang melimpah ruah itu bangsa Melayu hanya merasai kuahnya saja dari daging-daging dan remeh-temeh dari nasi-nasi yang jatuh di tepi pinggan sahaja.

Orang-orang Melayu di kampung digalakkan oleh pembesar-pembesar merebut peluang mendapatkan tanah getah 3 atau 4 ekar saja dan dinasihatkan untuk tidak mencari lebih dari itu lagi dengan alasan menjadi bebanan untuk membayar cukai tanah. Kalau tanah tidak dibayar cukai, tanah-tanah itu akan dirampas oleh kerajaan dan akan dilelong.

Dalam waktu yang sama beratus-ratus ribu ekar estet telah dibuka dengan rakusnya oleh pedagang-pedagang Inggeris, di samping lombong-lombong bijih di merata tempat. Mereka mencekik dan menimba kekayaan di atas darah dan airmata bangsa Melayu hingga bangsa Melayu menjadi ayam mati di kepuk padi, itik haus di kolam mandi.

Bagaimanapun, orang-orang Melayu berterima kasih juga kerana tanpa usaha bangsa Inggeris ini tidaklah ada benih-benih getah yang dibawa dari Brazil ke negeri ini bagi memberikan sumber asli hasil negeri yang utama kini. Malah semasa harga getah turun, kerajaan Inggeris mengeluarkan kupon sebagai bantuan menyebabkan bangsa Melayu semakin hayal dalam mimpi-mimpi indah yang meracuni pemikiran mereka akhirnya.

Sebagai bangsa ‘TUAN’ orang-orang Melayu hanya ‘goyang kaki’ tidak perlu berkerja, di mana setiap 3 bulan sekali mereka akan menerima imbuhan kupon getah . Oleh sebab itu ada di antara pegawai-pegawai Melayu yang berkhidmat dengan Ingeris yang lebih Inggeris dari orang Inggeris dengan sinisnya melahirkan pendapat bahawa orang Melayu adalah ‘PEMALAS’

Kedatangan wanita-wanita Jepun menjadi penghibur-penghibur di pecan-pekan dan daerah-daerah akhir tahun 1920an dan awal tahun 1930an tidak pernah menimbulkan syak wasangka kepada rakyat negeri ini. Dengan wang yang tidak seberapa, segolongan yang tidak seberapa juga orang-orang Melayu menghabiskan wangnya dengan berjoli bersama wanita-wanita jepun ini.

Dalam masa orang Melayu mencari hiburan dan bersuka ria, bangsa Cina yang mendapat sokongan dari Inggeris mula melibatkan diri dalam sektor perniagaan, perlombongan dan estet. Tidak ada sekatan yang dilakukan samada mereka mahu masuk atau keluar dengan membawa sejumlah wang ringgit mengalir ke negeri mereka di tanah besar dan Hong Kong.Jadilah mereka satu bangsa, ‘kajang orang kajang berlipat, kajang kita mengkuang layu, dagang orang dagang bertempat, dagang kita dagang lalu.’

Di samping orang-orang Cina itu, kemasukan orang-orang India juga tidak ada sekatan, Selain dari menjadi buruh membuat jalan keretapi, jalanraya dan pekerja estet getah, mereka juga membuka perniagaan meminjamkan wang yang diusahakan oleh ceti-ceti. Ramai orang-orang Melayu terperangkap dengan mengadaikan tanah-tanah hak milik mereka kepada ceti-ceti ini di mana undang-undang tanah terlalu longgar dan sengaja dibuat sedemikian pada ketika itu.

Semua ini berlaku disebabkan oleh mentaliti masyarakat Melayu yang terlalu rendah akibat dari polisi Inggeris yang tidak mahu melihat anak-anak peribumi berpendidikan tinggi dan cerdik.Mereka tahu sekiranya rakyat peribumi mempunyai pendidikan tinggi, akan cepatlah tercetusnya perjuangan mencapai kemerdekaan seperti apa yang berlaku di India, Filipina dan Indonesia.

Bercakap mengenai politik, orang-orang Melayu langsung tidak berani terlibat. Bukan saja kecut perutnya malah mereka tidak mengerti apa itu politik. Sekalipun ada akhbar-akhbar yang diterbitkan, namun berita-berita yang disiarkan hanyalah berita-berita biasa yang tidak memperlihatkan apa-apa kesedaran politik. Lagipun pada ketika itu kadar celik hurup di kalangan peribumi amat rendah sekali dan ini menyebabkan akhbar yang diterbitkan kurang dibaca oleh masyarakat Melayu.


SEMANGAT NASIONALISMA GELOMBANG PERTAMA

Bagaimanapun terdapat juga majalah-majalah yang meniupkan semangat kebangsaan tetapi pengedarannya adalah terbatas. Antara akhbar-akhbar dan majalah-majalah ini yang diterbitkan sejak 1907 ialah Utusan Melayu ( bukan Utusan Melayu yang ada kini ), Lembaga Melayu dan kemudiannya diikuti oleh Neraca, Warta Malaya, Al-Ikhwan, Saudara dan lain-lain lagi.

Antara penulis-penuliss yang berani mengemukakan pendapatnya ialah Syed Sheikh Al Hadi di mana beliau telah menulis dalam Al Ikhwan keluaran 16/10/1926 seperti petikan di bawah ini.
“Wahai sekelian ikhwan, bagaimanakah sedapnya kita tidur di dalam paluan gelombang yang berpecah ini, di dalam rebut taufan petir halilintar yang membelah akan bukit ini.Tidakkah mengejutkan kamu bunyi gelombang yang berpalu itu.?”

Dalam bahasa yang simbolik inilah penulisnya meniupkan semangat kebangsaan seperti rencana beliau sebelumnya dalam Al Ikhwan keluaran 26/9/1926 ada ditegaskan,
“…memada-madalah, bangunlah segera dari tidur kamu wahai sekelian ikhwan.Sanya telah kelamlah tipu daya kebodohan dan terbit cahaya pengetahuan. Tengok, lihat dan perhatikanlah apakah yang diperbuat oleh kaum bangsa yang jaga itu….. “ dan seterusnya.

Disebabkan orang-orang Melayu waktu itu seperti yang dikatakan tadi, tidak diberi pendidikan secukupnya, maka tulisan-tulisan yang bernas tersiar di akhbar-akhbar dan majalah-majalah tidak memberi apa-apa kesan kepada mereka laksana mencurahkan air ke daun keladi.

Tetapi macam mana halus pun jarum penindasan ditusukkan oleh Inggeris ke jiwa bangsa Melayu, namun terdapat juga putera-putera bangsa Melayu yang insaf akan nasib bangsa, agama dan tanahairnya. Inggeris hanya berjaya mengempang sungai yang melurut tetapi mereka tidak boleh menahan kemaraan air yang kian melimpah untuk terus mengalir.

Demikianlah halnya penubuhan Maktab Perguruan Melayu Sultan Idris di Tanjung Malim dalam tahun 1922 menjadi rahmat kepada bangsa Melayu. Di sinilah bermulanya gerakan kebangsaan yang menggugat kekuasaan Inggeris selama ini dengan semangat waja putera-putera bangsa yang sanggup dibakar hangus, direndam basah, dicincang lumat, dipancung mati – demi negara, bangsa dan agama yang dicintai.

Semangat nasionalisma anak-anak muda di Tanjung Malim bukanlah datangnya secara mendadak tetapi masuknya bahan-bahan bacaan dari Indonesia ditambah dengan semangat yang ditiup oleh pejuang-pejuang bahasa dan sastera melalui majalah-majalah dan akhbar-akhbar seperti Syed Sheikh Al Hadi, sheikh Tahir Jalaluddin Al falaki, Sheikh Muhammad Salim Al Kalali, Syed Muhammad bin Akil bin Yahya, Sheikh Awad bin Saidin Haji Abbas bin Taha dan lain-lain lagi terus marak.

Dengan berlindungnya pejuang-pejuang kemerdekaan Indonesia yang lari dari pemerintahan Belanda di tanahair mereka ke Semenanjung dan ke Maktab Perguruan Tanjung Malim seperti Djamaluddin Tamin, Subakat, Tan Melaka, Alimin, Musso, Nata Zainuddin, Darsono, Burhan Djamin, Semaun, Sutan Djanain, Muchtar Lufti dan beberapa orang lagi, mempercepatkan lagi meluapnya semangat guru-guru Melayu di Tanjung Malim yang memang sudah sedia mendidih dan mengelegak sekian lama.

Dalam tahun 1929 dan 1930 mereka secara haram menubuhkan persatuan yang berunsur politik pertama di negara ini iaitu ‘Ikatan Semenanjung Borneo’ dan ‘Ikatan Pemuda Pelajar.’Muncullah tokoh-tokoh seperti Ibrahim Hj Yaakob, Muhammad Isa bin Mahmud, Hassan bin Haji Manan, yaakob Muhammad Amin, Abdul karim Rashid dan ramai lagi.

Perjuangan guru-guru di Tanjung Malim ini sebenarnya mendapat dorongan dari O.T. Dussek iaitu seorang pegawai Inggeris yang mahu melihat bangsa Melayu muncul sebagai bangsa yang maju di dunia. Walaupun begitu, usaha-usaha O.T. Dussek ini telah menimbulkan kurang senang dan kemarahan kepada kerajaan Inggeris. Beliau kemudiannya telah dipanggil balik ke England dan bersara di sana. Tujuan Inggeris memaksa O.T. Dussek balik ke England semata-mata mereka tidak mahu orang-orang Melayu pandai seperti diharap dan dicita-citakan oleh O.T. Dussek, Pengetua Maktab yang sangat disayangi oleh guru-guru Melayu Di Tanjung Malim itu.

Di samping itu ada juga segelintir pegawai-pegawai tadbir Melayu ( MAS ) memberi sokongan kepada perjuangan guru-guru ini antaranya termasuklah Ishak Haji Muhammad, Penolong Pegawai Daerah Bentong, Pahang dalam tahun 1931. Inilah gelombang pertama perjuangan kemerdekaan menggombak dalam sejarah politik tanahair, di mana di setiap negeri Semenanjung muncul tokoh-tokoh yang patut dikenang hingga ke hari ini kerana sumbangan mereka yang amat berharga. Antara nama-nama itu ialah Idris Hakim, Mustaffa Haji Hussein, Abdul Karim Rashid, Sulong bin Chik, Hassan Bin Haji Manan, Onan Hj Siraj, Abdullah Kamil, Bakar Abik, Abdul samad Ahmad, Ismail Ab Jalil dan Abdullah Thani di Selangor, Pakcik Ahmad, Muhammad Dzaif Sulaiman dan Raja Shahriman di Perak, Puteh Badri, Abu Bakar dan Abdul Majid di Pulau Pinang, Muhammad Arif di Kedah.

Jaafar Sidek, Acheh Hj Masud, Taharuddin Ahmad dan Zuber Salam di Negeri Sembilan, Muhammad Isa Mahmud, Ibrahim Endut dan Abdullah Hamid Abdul di Johor. Ishak Haji Muhammad, Muhammad Yassin Salleh ( ayah Kamarul Ariffin -bekas senator ) dan Muhammad Baginda ( ayah pengarang Osman Abadi ) di Pahang. Ibrahim Fikri, Abdul Majid Hj Muhammad dan Wan Daud di Terengganu. Abdul Kader Adabi dan Ibrahim Mustaffa di Kelantan dan ramai lagi yang tidak dapat dicatit namanya di sini.

Selain dari melakukan gerakan bawah tanah oleh Ibrahim Hj Yaakob, tokoh-tokoh seperti Ishak Hj Muhammad dan Muhammad Yunus Abdullah telah menggunakan mata pena dalam mendedahkan kekejaman bangsa Inggeris dalam usahanya meniupkan semangat kesedaran kebangsaan kepada bangsa Melayu dalam gelombang pertama perjuangan kemerdekaan ini.

Kedatangan Jepun dalam bulan Disember 1941 telah memberi tamparan serta pengajaran kepada Inggeris bahawa satu bangsa kecil boleh menghancurkan mereka. Keupayaan Jepun sebagai bangsa penakluk ini membuka mata bangsa Asia bahawa bangsa penjajah barat bukanlah satu kuasa yang tidak boleh dikalahkan.

Kepintaran Jepun dalam mengatur strategi untuk menakluki tanah Melayu hanya disedari oleh orang-orang Melayu setelah mereka menjajah negara ini. Sebelumnya, apabila ramai orang-orang Jepun masuk ke negeri ini dalam tahun-tahun 1930an sebagai tukang gambar, tukang gigi, tukang gunting rambut dan penjual kain dan wanita-wanitanya menjadi penghibur, tidaklah ketara sangat pada masyarakat Melayu.

Orang-orang Jepun mengambil gambar-gambar di kampong-kampung pendalaman, masuk ke dalam istana-istana, merakamkan peristiwa mesyuarat-mesyuarat hari-hari kebesaran raja-raja malah berjaya masuk mengambil gambar-gambar di rumah-rumah British Resident serta lain-lain pejabat-pejabat kerajaan.

Dalam masa pemerintahan Jepun ternyata tukang-tukang gambar yang membuka kedai gambar di pekan-pekan dan penjual-penjual kain serta peniaga-peniaganya itulah yang menjadi pegawai-pegawai pemerintah tentera Jepun. Amat jelaslah bahawa kedatangan mereka ke Tanah Melayu bukanlah secara mendadak tetapi mempunyai perancangan yang teliti dan teratur oleh pengintip-pengintip yang menyamar diri itu.

Orang-orang Melayu yang mendewa-dewakan Inggeris selama ini sedar bahawa kekuasaan Inggeris boleh dihancurkan dengan perancangan yang teliti serta teratur. Walaupun Inggeris datang semula ke negeri ini selepas 14 hari penyerahan diri tentera Jepun tanpa syarat pada pertengahan Ogos 1945, iaitu di saat orang-orang Melayu menderita kelaparan, penyakit, kekejaman, namun mereka dapat memahami bahawa gagasan “Malayan Union” anjuran Harold McMichael itu adalah gua naga yang menelan bangsa Melayu di muka bumi ini.

Setelah Jepun menyerah kalah dalam bulan Ogos, 1945 kerajaan penjajah Inggeris mengirimkan utusan yang dipimpin oleh Sir Harold Mc Michael dengan tujuan menipu secara halus dan bijak untuk memaksa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan. Dengan tipu helahnya, kesemua 9 Raja-Raja Melayu telah menandatangani penyerahan kuasa kepada kerajaan Inggeris. Dengan itu Semenanjung Tanah Melayu secara mutlaknya menjadi tanah jajahan yang statusnya sama dengan Singapura, Pulau Pinang dan Melaka. Oleh kerana keadaan negara kacau bilau, orang-orang Melayu juga bagaikan anak ayam kehilangan ibu, maka Harold Mc Michael pun berjayalah mendapatkan tandatangan Raja-Raja Melayu secara paksaan halus bagi membolehkan Inggeris membentuk “Malayan Union”.

GELOMBANG KE DUA NASIONALISMA

Kebangkitan bangsa Melayu dalam gelombang ke dua perjuangan kemerdekaan ini lebih hebat lagi dengan tunjuk-tunjuk perasaan di seluruh pelusuk tanahair menentang Malayan Union. Pegawai-pegawai Inggeris yang pernah berkhidmat di Negara ini dan telah bersara di London, ramai di kalangan mereka yang menyokong perjuangan bangsa Melayu ini. Antaranya termasuklah Sir Richard Winstedt, Maxwell, Alex Mac Adam, Arnold Robinson dan beberapa orang ahli parlimen Inggeris yang simpati dengan nasib bangsa Melayu. Winstedt sebagai seorang ahli sejarah, sastera dan budayawan telah menulis mengenai Malayan Union sebagai: “ The End Of The Malay Race dalam The Ugly Duck.” Apabila mengecam Malayan Union yang telah disiarkan dalam sebuah majalah “ Crown Colonist”. Beliau telah menyatakan rasa kesalnya yang amat sangat di atas gagasan Malayan Union yang didatangkan oleh Inggeris itu.

Ketika orang-orang Melayu bangkit dengan semangat yang meluap-luap, di samping beberapa orang cendiakawan Inggeris menyokong perjuagan mereka, tidak seorang pun orang-orang bukan Melayu membuat apa-apa reaksi.Sebaliknya Sir Tan Cheng Lock dalam ucapannya yang dibuat pada 2hb April, 1946 telah memuji-muji cadangan Malayan Union itu.

SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN YANG KE 52 BANGSAKU. MOGA KAMU SEMUA TAHU APA ITU KEMERDEKAAN DAN PERJUANGAN BANGSAMU TERDAHULU. AMBILLAH IKTIBAR DARI CATATAN SAYA INI. SEJARAH AKAN BERULANG DAN KINI IANYA TELAH BERULANG . APAKAH KITA SEDAR ATAUPUN TIDAK KERANA BANGSAKU ADALAH BANGSA YANG LALAI DAN DILALAIKAN DAN TELAH HAYAL DAN DIHAYALKAN SERTA DIBUAI MIMPI-MIMPI INDAH.

Rujukan Utama

1. 25 Tahun Merdeka – Oleh Tan Sri Abdul Samad Idris, Penerbitan Pustaka Budiman, Kuala Lumpur, Cetakan Pertama, 1982























-

No comments:

Post a Comment