Malaysian Time

Blog Design by Bling on the Blog

Thursday, December 10, 2009

Minda: Jangan jadi ‘unta buta’

Minda: Jangan jadi ‘unta buta’





KETIKA berkunjung ke luar negara atas urusan rasmi, saya berpeluang bertemu dengan rakan bisnes dan tokoh korporat syarikat ternama. Di samping mencari peluang bisnes, pelaburan dan usaha sama, kesempatan kerap juga saya gunakan untuk bertukar-tukar pandangan.

Satu pengalaman ketika berkunjung sebuah negara Arab masih segar dalam ingatan saya kerana berkait rapat dengan cabaran hebat yang dihadapi umat Islam hari ini.

Dalam kunjungan ke Kuwait sekitar hujung 1990-an, saya diraikan dalam satu majlis makan tengah hari anjuran sebuah badan korporat ternama Kuwait. Di situ saya bertemu dengan seorang tetamu berketurunan Jerman yang memeluk Islam beberapa tahun sebelumnya.

Dalam perbualan kami, beliau ditanya bagaimana dan kenapa memilih Islam sebagai pegangan hidup. Jawapan diberikan cukup memeranjatkan. Dengan nada tegas dan serius beliau menjawab: “Not because of Muslims!” (bukan kerana umat Islam!).

Beliau berasal daripada keluarga Katholik yang kuat beragama. Sebagai anak muda yang dahagakan kebenaran dan berminat mencari makna dan pengertian hidup sebenar, beliau tidak senang dengan kontradiksi yang jelas terdapat dalam ajaran agama serta pegangan hidup yang diwarisi dari keluarganya sebelum ini.

Sebagai seorang bekas duta Jerman yang berkhidmat di seluruh dunia, termasuk di beberapa negara Islam, beliau berpeluang berinteraksi dengan ramai orang tanpa mengira bangsa, kedudukan ekonomi, latar belakang budaya dan agama yang berlainan.

Katanya, jika dilihat kepada kehidupan rata-rata umat Islam yang miskin, daif, rendah budaya dan akhlak, cetek ilmu, kotor dan tidak teratur, tidak akan terlintas di hati beliau untuk memeluk Islam.

Namun, beliau bersyukur kerana menemui kebenaran Islam dari sumber lain. Selepas dewasa, beliau membaca lebih 200 buku mengenai semua jenis agama dan falsafah hidup. Beliau paling bersyukur kerana mampu membaca al-Quran dan memahami maksudnya.

Hakikatnya kini, rata-rata kehidupan umat Islam masih daif, miskin, menderita dan melarat, rendah tahap pencapaian ilmu, budaya dan tamadun, yang menyebabkan bukan saja umatnya, malah agamanya yang tinggi dan suci mulia itu dipandang rendah oleh orang lain.

Sekalipun terdapat negara Arab dan negara Islam lain kaya raya, malah lebih kaya daripada sesetengah negara Barat, kekayaan tidak langsung dirasai golongan besar masyarakat dan tidak berupaya membela nasib majoriti umat.

Laporan Projek Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) menyatakan bagi setiap lima orang di dunia Arab kini, dua daripadanya miskin dan melarat dengan pendapatan tidak sampai AS$2 (RM6.80) sehari.

Ia jelas menunjukkan kedaifan dan keadaan hidup sebahagian besar bangsa Arab berbanding imej kemewahan dan persepsi kekayaan orang lain terhadap mereka.

Laporan juga menyatakan kerajaan negara-negara Arab kelihatan tidak berupaya menyelesaikan masalah cabaran hidup dihadapi majoriti penduduknya.

Menjelang 2020, UNDP menganggarkan dunia Arab perlu menyediakan 50 juta peluang kerja untuk generasi baru remaja Arab.

Dengan kedudukan politik, ekonomi, bisnes dan korporat Arab yang bergolak, tuntutan itu dikatakan mustahil. Jelas negara Arab tidak bersedia berubah dan membawa pembaharuan dalam sistem kehidupan mereka.

Andainya benar kajian UNDP ini, keadaan umat Islam, khasnya di dunia Arab dijangka bertambah buruk.

Ini membawa implikasi besar terhadap kehidupan umat di seluruh dunia, lebih-lebih lagi apabila diambil kira keadaan umat Islam di negara-negara lain seperti Afrika, Afghanistan, Pakistan, Bangladesh, India, Asia Tenggara dan Asia Tengah serta barat China yang masih menantikan pembelaan.

Masalah ini sangat membimbangkan kerana Islam dengan tegas dan dari awal mengingatkan umatnya menerusi sebuah hadis Rasulullah bahawa kefakiran membawa kepada kekufuran.

Lebih membimbangkan hakikat umat Islam, termasuk di beberapa negara Arab yang kaya-raya, terdapat sikap dan minda yang hanya akan menambahkan kegawatan dan kecelaruan.

Dalam penulisan sebelum ini, saya pernah menyarankan umat Islam supaya tidak ‘membabi-buta’ dan berebut-rebut menciplak sistem ekonomi Barat yang berteraskan kapitalisme rakus dan tamak.

Dalam konteks bangsa Arab pula, jelas sekali mereka perlu mengelakkan diri mereka daripada menjadi ‘unta buta’ - berebut-rebut membina sistem ekonomi dengan menciplak bulat-bulat kaedah sistem kapitalisme rakus dan tamak itu.

Di Dubai, kesan dan impak sikap ‘unta buta’ ini jelas sekali kelihatan. Dubai pernah disanjung tinggi sebagai antara kota Arab paling ke depan khasnya dalam pembangunan berlandaskan amalan kapitalis Barat.

Kebelakangan ini, selepas dunia dilanda krisis berpunca daripada kelemahan ekonomi yang bermula di Amerika Syarikat, (dikatakan akibat kerakusan dan ketamakan pemimpin korporat dan bank Amerika), ekonomi Dubai turut terjejas teruk.

Atas dasar inilah semakin banyak kritikan dilemparkan terhadap Dubai.

Sesungguhnya banyak yang tidak kena dengan cara umat Islam dan Arab menggunakan harta kekayaan mereka. Mereka berebut-rebut menandingi, melebihi dan mendahului Barat sedangkan cara Barat yang angkuh dan rakus itu sendiri selama ini tidak disenangi oleh semua orang.

Islam juga sangat tegas menganjurkan supaya jangan dibiarkan harta kekayaan berputar cuma di kalangan orang kaya saja dalam masyarakat dan semua yang fakir dan miskin diberi hak untuk menuntut bahagian mereka daripada semua harta kekayaan ini.

Andainya tidak diawasi, sikap ‘unta buta’ ini diumpamakan kekayaan yang boleh membawa kepada kekufuran.

Majalah The Economist yang diterbitkan di London baru-baru ini menganggap fenomena Dubai sebagai ‘satu empayar yang dibina atas pasir...satu monumen kerakusan besar dan angkuh dan menjolok mata tidak berkelangsungan’.

Akhbar itu melihat Dubai sebagai ‘Planet Dubai’, iaitu satu ‘monumen kepada sikap berlebihan melampau, satu berhala konsumerisme’ dan ‘satu hasil besar perahan daripada kapitalisme semasa’. Sungguh membimbangkan.

Dalam keadaan dua daripada setiap lima umat Islam kelaparan, tergamak pula yang kaya di kalangan mereka ghairah melayani selera dan memuaskan nafsu mengikut anjuran kerakusan dan keserakahan Barat.

Terdapat juga di kalangan jutawan Arab sanggup berlumba berbilion dolar membeli kelab bola sepak Inggeris dan tidak untuk membuat kebaikan (fastabiqul khairat) seperti yang dianjurkan Islam.

Jika dibiar berleluasa dan dicontohi pula negara Islam maju yang lain, apakah nasib masa depan umat Islam? Apakah sikap seperti ini harus dibiarkan menguasai suasana hingga mengakibatkan umat Islam berpecah dan hilang kepercayaan sesama sendiri? Apakah harus dibiarkan mereka menggelapkan dan mengaburi pandangan orang bukan Islam terhadap agama Islam?

Akhirnya kita terpaksa menerima dan bersetuju dengan pendirian bekas duta Jerman Muslim tadi.

Kita harus berbuat sesuatu segera mengelakkan situasi di mana bukan Muslim lain yang tidak cekal dan tidak besar jiwa sepertinya hilang minat dan terpesong daripada menemui kebenaran dan kesucian Islam serta menikmati rahmat sebagaimana yang dijanjikan kepada semua umat manusia cuma kerana kelemahan dan ‘kebutaan’ kita sendiri.

>Penulis ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Islam Malaysia

No comments:

Post a Comment