Malaysian Time

Blog Design by Bling on the Blog

Wednesday, September 2, 2009

Takaful Ikhlas Penerima Pertama sijil MS1900:2005


Takaful IKHLAS – Syarikat takaful/insurans pertama menerima Sijil MS1900:2005
17 Oct 2008

Kuala Lumpur, 16 Oktober 2008 – Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful IKHLAS) mencatat sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai penerima Sijil MS1900:2005 di kalangan syarikat pengendali takaful dan insurans di Malaysia secara rasminya pada hari ini.

Syarikat pengendali Takaful yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelima penubuhannya pada 14 Oktober 2008 yang lalu diberi pengiktirafan tersebut oleh SIRIM QAS International bagi Sistem Pengurusan Kualiti dari Perspektif Islam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS, Syed Moheeb Syed Kamarulzaman memberitahu, pengiktirafan yang diberikan oleh SIRIM QAS International pada 15 Ogos 2008 itu merupakan salah satu kejayaan terbesar syarikat selepas menerima pengiktirafan ISO9001:2000 bagi proses berkaitan dengan Pengurusan Takaful Berkelompok pada tahun sebelumnya.

“Menjadi penerima sijil ini merupakan satu penghormatan besar buat Takaful IKHLAS kerana jika dibandingkan dengan syarikat pengendali takaful dan insurans yang ada di negara ini, kami masih baru,” ujar beliau selepas menerima sijil tersebut dalam Majlis ‘Idulfitri Bersama Takaful IKHLAS dan Penyerahan Sijil MS1900:2005 di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay , Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir dalam Majlis tersebut ialah Pengarah Urusan SIRIM QAS International Sdn. Bhd., Yang Berbahagia Dato’ Mariani Mohammad dan lebih seribu jemputan yang terdiri daripada rakan-rakan korporat, pelanggan-pelanggan, para wakil dan kakitangan Takaful IKHLAS.

Syed Moheeb berkata, penganugerahan Sijil MS1900:2005 yang dinilai menerusi Sistem Pengurusan Kualiti dari Perspektif Islam itu dilihat sebagai salah satu inisiatif yang sejajar dengan visi dan misi Takaful IKHLAS, yang amat mementingkan aspek Syariah dan kualiti dalam pengurusan seharian.

Mengulas lanjut mengenai penglibatan Takaful IKHLAS dalam program perintis MS1900:2005 ini Syed Moheeb memberitahu, Takaful IKHLAS bersama-sama dengan beberapa syarikat yang lain pada awalnya telah dipelawa oleh SIRIM QAS International untuk mengikuti program perintis ini. Ujar beliau lagi, hasil usaha tanpa henti Takaful IKHLAS selama ini telah membawa kejayaan kepada syarikat itu untuk menjadi penerima pertama sijil tersebut.

Takaful IKHLAS yang merupakan anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad (MNRB) memulakan operasinya pada bulan Julai 2003. MNRB telah dicatatkan di papan utama Bursa Malaysia Securities Berhad di mana pemegang saham utamanya adalah Permodalan Nasional Berhad menerusi Skim Amanah Saham Bumiputera.

Setelah hampir 6 tahun beroperasi, Takaful IKHLAS telah mempunyai rangkaian pengedaran yang luas termasuk ejen-ejen di seluruh semenanjung Malaysia termasuk dibandar-bandar kecil. Ini termasuk di Kuala Lumpur, Kota Bharu, Sungai Petani, Johor Bharu, Kuching, Kota Kinabalu, Melaka, Kuantan, Ipoh dan Putrajaya.

No comments:

Post a Comment