Malaysian Time

Blog Design by Bling on the Blog

Sunday, July 19, 2009

Tiada Hujung Cinta Ini

<










CERITA SEORANG KAWAN

Babak 1

Badrul seorang pemuda kampung nun jauh di selatan tanah air akhirnya berjaya melangkahkan kakinya di sebuah universiti di antara yang tertua di utara Malaysia. Sewaktu beliau menjalani ujian x-ray di sebuah hospital kerajaan, , beliau telah bertemu seorang gadis yang juga menjalani ujian x-ray untuk kemasukan ke universiti yang sama. Perkenalan ini tidak berakhir di situ dan apabila mereka bertemu kembali di universiti pilihan mereka sekitar bulan jun pada tahun itu juga bibit-bibit cinta mulai bersemi. Disaksikan bulan dan bintang, bayu laut menyapa lembut membisikkan kata-kata cinta sang teruna dan berjanjilah dari hati yang murni, bahawa cinta ini hanya untuk si dara.

Babak 2

Sekuntum mawar merah, sebuah puisi, di bulan februari.
Cinta mereka tidak mendapat restu ayah dan bonda si dara. Berlainan darjat katanya. Si dara anak orang berada. Kebun getah melata-lata. Kedai emas diempunyai ayahanda. Hidup mewah sepanjang masa. Sedangkan si teruna hanyalah budak desa yang tidak punya apa-apa. Harapkan wajah pun tidak seberapa. Hanya berbekalkan ketelusan hati dan kesetiaan cinta cuma. Cinta mereka dihalang kerana si dara akan dijodohkan dengan orang berada juga. Sepupu katanya. Juga menuntut di universiti yang sama dalam tahun tiga.
Cinta si teruna tidak mengenal darjat. Tidak mengenal ugutan. Tidak mengenal alasan. Cinta sejati telah terpahat di hati. Si dara mesti jadi miliknya sejati lepas tamat pengajiannya di universiti. Maka berlakulah pertelingkahan. Berbagai dugaan si teruna hadapi. Dari cacian, makian dan sehingga pistol ayahanda si dara ditusukkan di kepala. Kes polis hanya seketika kerana ayahanda dara orang berada. Orang politik begitulah caranya. Undang-undang hanya mainan. Boleh dibuat bicara tanpa mahkamah yang memutuskannya.
Di suatu ketika, motorsikal teruna tercampak di bukit canselori. Brek terputus dan tayar tercabut sama. Angkara siapa? Macam kisah filem ‘ Ali Setan’ lagaknya. Teruna di bawa ke hospital dalam keadaan koma. Ibu di kampung gundah gulana. Tiada wang untuk dibawa ke utara. Hanya menunggu penuh duka, anak terlantar seminggu tanpa membuka mata. Seketika sedar, ibu ditanya. Malangnya ibu tidak bersama. Ditanya dara ke mana perginya. Dara juga tidak dilihatnya.
Kembali ia ke universitinya. Dara sudah tidak bertanya berita. Apa yang tersirat, dara telah meninggalkannya. Entah ke mana perginya. Dengar khabar ayahanda dara mengambilnya. Membawa jauh ke benua kecil Australia untuk belajar di sana. Tinggallah teruna meratap hiba. Apakan daya semuanya telah ditakdirkan. Dara yang dipuja kini jauh di mata. Cinta berputih gugur bersama hujan panas di siang hari. Hati yang remuk cuba dipujuk. Teruna yang kuat semanggat teruskan hidup. Di akhir tahun beroleh ijazah kepujian terbaik. Malangnya ibu tidak dapat meraikannya. Bapanya pula telah lama menemui penciptanya. Tiada siapa di hatinya untuk bergembira.


Babak 3

Ke Australia teruna mencari dara. Menyambung pelajaran juga matlamatnya. Dara ditemui terperanjat hiba. Malangnya dara bukan lagi miliknya. Sudah ada cincin di jari manisnya. Milik seseorang pilihan orang tuanya. Cucuran airmata kembali berjela. Teruna kembali ke Malaysia dengan Masternya. Namun dara tidak pernah dilupainya.
Berkahwin si teruna dengan gadis cadangan kawannya. Tanpa bercinta terus mendirikan rumahtangga. Cinta lepas kahwin lagi bahagia. Itulah kata orang tua-tua. Enam tahun melayari rumahtanggan terasa bahagianya. Tentang si dara sudah dilupainya. Walaupun isterinya bukan dia lelaki yang pertama menikmatinya. Dia pasrah pada Allah kalau itu memang jodohnya. Moga isterinya bertaubat apa yang telah dilalui semasa remajanya.
Telah tiga anak dilahirkan isterinya. Kekasih lama isterinya datang menagih cinta. Si isteri mula kelabu mata. Mana yang kaca mana yang permata. Akhir cerita, ditinggalkan si suami. Mencari cinta sejati. Mencari lelaki yang pernah menidurinya. Bernikah ia dengan kekasihnya . Malangnya ia sebagai isteri nombor dua saja. Anak ditinggalkan pada si suami. Suami baru tidak mahu anak bekas suami. Bekas isteri kasih lebih pada si suami barunya. Jadilah anak tanpa ibu walaupun sekecil baru berusia 8 purnama. Si bapa menjaga anak dengan penuh kasih, walaupu terpaksa diberhentikan kerja. Susah payah tiada siapa yang ambil tahu. Airmata menjadi teman hidupnya. Tanggisan anak menjadi igauan hariannya. Akhirnya anak membesar panjang. Belajar di sekolah rendah si abang tersayang. Kakak cerdik belajar seorang. Tidak pernah pergi ke tadika walaupun berpeluang. Adik comel jadi penggarang jantung. Ayah bertukar kerja menjadi jurujual. Kerana anak perlu diutamakan.Gaji beribu bukan keutamaan.

Babak 4

Enam tahun berlalu sudah. Anak yang sulung sudah menengah. Berada di MRSM duduk di asrama. Si ibu datang menagih simpati. Kononnya teringat anak setiap hari. Kononya perkelahian dengan suami hampir setiap hari. Lalu talak si suami beri. Datang dia kepada bekas suami. Minta disambung cinta kembali. Dia berjanji akan setia. Menjaga anak bersama-sama. Anak dengan suami ke dua jua ada dua. Bersamanya sepanjang masa. Anak-anak mula berbelah bagi. Sayangkan ayah atau mamanya. Si kecil comel sudah lupa. Adakah ia dilahirkan dari perut ibunya atau dari perut ayahnya. Atas desakan keluarganya, pernikahan ke dua terjadi jua. Hidup kembali bersama semula walaupun hati tidak ada rasa cinta.

Babak 5

Enam bulan menjalin cinta. Si suami cuba melupakan derita. Anak-anak perlu diutamakan. Anak tiri juga perlu diberi makan. Malangnya si isteri mudah lupa janji. Tertangkap khalwat dengan bekas suami. Berdua-duanya di dalam kereta. Sedang buat kerja gila.
Kini tinggal si suami dengan tiga anak-anaknya. Isteri kahwin lagi. Anak kini sudah membesar panjang. Dua sudah masuk universiti dan seorang ada di asrama sekolah bistari. 10 tahun dia terus membujang. Menjaga anak dan juga kebajikan. Lupa ia akan perempuan. Lupa ia akan percintaan. Kerjaya yang lama sudah ditinggalkan. Kini dia sudah lebih berjaya. Menjadi konsultan syarikat antarabangsa. Anak perlu diutamakan. Bila anak meninggalkannya. Terasa sunyi menyelubungi hati. Teman baru harus dicari. Merantau ia ke serata negeri. Akhirnya ia berhenti di tempat ia mula berdikari. Tempat ia mula menyemai cinta sejati. Pulau Mutiara nama diberi.

Bab 6

Ditemuinya seorang gadis seiras gadis cinta pertamanya. Tak tumpah sedikit pun terutamanya senyumannya. Jalannya, lengoknya dan segala-galanya. Ah ! hatinya mula gelisah. Cinta lama kian berdarah. Tiap hari teringatkannya. Anak-anak diberitahunya. Si anak perempuan mula menunjukkan tingkah. Ayah tak dibenar lagi bernikah.
Si ayah tak berani membuka langkah. Usia si gadis terlalu mentah. Perbezaan usia hampir setengah. Mungkin juga dia sudah ada kekasih. Mungkin juga sudah bertunang atau setidak-tidaknya sudah ada teman percintaan. SMS Badrul tidak pernah dibalas. Emailnya juga mungkin ke bakul sampah.Akhirnya Badrul meluahkan perasaan. Sendiri-sendiri dia berkisah . Inilah bisikan ikhlas hati Badrul:
‘Aku hanya mahu dia berkawan dengan aku. Aku mahu dengar suaranya. Senyumnya. Sudah cukup untuk menghiburkan hati aku. Kekadang aku tersedu bila teringatkannya. Terlalu sakit rasanya di dada. Cuba mengingati wajahnya tetapi kerap tak muncul jelma. Aku mahu katakan hanya sekali saja “ aku sayang padanya” Aku mahu membelikan sesuatu yang aku tak dapat berikan pada kekasihku yang dulu.Walaupun aku tahu aku tidak akan dapat memilikinya. Apatah lagi hatinya. Aku takut untuk menyatakannya. Aku takut dia tidak mahu berkawan dengan aku lagi. Aku takut akan kehilangannya. Aku ingin berkawan dengannya walaupun sehingga akhir hayatku. Aku tidak sehebat dulu. Aku kini insan yang lemah hati dan perasaan. Aku sudah berusia. Tapi salahkah aku bercinta lagi seusiaku kini?”

Bab Akhir

Lalu solat istikharat Badrul lakukan. 30 malam beristiqomah tanpa kelelahan. Tuhan belum lagi memberi jawapan. Badrul hanya pasrah. Mungkin gadis ini bukan jodohnya. Kalau begitu, biarlah dia keseorangan. Kesunyian tanpa teman bicara. Mencari teman sejati entah di mana. Badrul hanya mampu berdoa “ Ya Allah, dengan kesempatan usiaku yang ada ini, izinkan aku menatap wajahnya sekerap yang mungkin, izinkan aku melihat senyumnya yang manis, bukakanlah hatinya untuk menjadi sahabat sejatiku kalaupun bukan sebagai kekasih, walaupun nanti dia bukan menjadi milikku. Izinkan aku Ya Allah mengingati cinta suciku kerana kau Maha mengetahui apa yang ada di dalam hatiku ini.”












Tamat
*******************************************************************************
p/s:
Bahan ini tidak dibenarkan untuk dicetak ataupun disebarkan pada umum. Ia adalah cerita peribadi seseorang untuk tatapan anda saja.

1 comment:

  1. Badrul memang pandai melakonkan watak. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui segala-galanya

    ReplyDelete