Malaysian Time

Blog Design by Bling on the Blog

Sunday, October 4, 2009

Calories in Teh Tarik - Nutrition Facts, and Healthy Alternatives - The Daily Plate Calorie Counter

Calories in Teh Tarik - Nutrition Facts, and Healthy Alternatives - The Daily Plate Calorie Counter

Selamatkah Malaysia













( klik gambar untuk lebih jelas )

Gempa bumi berukur 7.6 ritcher yang melanda Sumatera barat baru-baru ini telah meragut lebih seribu orang dan lebih 4,000 lagi dikuatiri mati tertimbus di empat buah kampung. Beratus lagi telah mati di Kepulauan Samoa akibat dari Tsunami. Diberitakan lagi gempa bumi juga telah melanda Indonesia Timor.

Banjir dan ribut Ketsana dan Parma telah melanda Filipina dan Ribut Parma telah melanda Vietnam dan Kemboja, telah mengorbankan beratus orang juga. Ribut dan banjir juga telah melanda India Selatan dan juga telah mengorbankan ratusan orang.

Di Malaysia, ribut juga melanda di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak dan di beberapa negeri di Utara Malaysia. Nampaknya bencana alam ini terus menerus berlaku walaupun belum ada lagi berita kematian di bumi Malaysia kini.

Walaupun akibat gempa ini belum lagi memberi kesan pada Malaysia, persoalannya adakah Malaysia selamat.

Malaysia dikira beruntung kerana terletak di kelilingi kepulauan dan tanah besar yang boleh dijadikan benteng dari kemungkinan ribut dan banjir besar. Di Utara kita ada Thailand, di Selatan, Kepulauan Indonesia dan Borneo, di Barat, Kepulauan Sumatera dan di Timor, kita ada Kepulauan Filipina dan Taiwan yang boleh dijadikan benteng kita. Juga Malaysia juga terletak tidak dalam lingkaran api Pasifik. Cuma yang dikhuatiri ialah Malaysia terletak di tengah-tengah lingkaran api itu. Seandainya berlakunya gempa yang berterusan, dan plat bumi terus bergegar dan menggelunsur, apa akan jadi pada bumi Malaysia,samada kita ternaik ke atas atau tenggelam ke dalam air laut.

Jadi janganlah kita rasa senang hati kerana bencana tidak berlaku di bumi kita. Marilah kita bersyukur pada nikmat Allah dan bantulah pada mereka yang menerima musibah di bumi Sumatera dan lain-lain tempat di Indonesia kerana mereka adalah seagama dengan kita. Berdoakan kita supaya bencana seumpama itu tidak berlaku di bumi Malaysia yang bertuah ini. Insya Allah!

Saturday, October 3, 2009

Teh tarik punca sakit jantung


















TEH tarik merupakan antara minuman kegemaran ramai termasuk golongan muda tetapi doktor mendakwa ia membahayakan
kesihatan. - Gambar hiasan
________________________________________

KUALA LUMPUR - Jika dahulu, penyakit jantung sinonim dengan golongan berusia tetapi kini ia mula menyerang golongan muda berusia di bawah 40 tahun kesan daripada corak pemakanan dan gaya hidup tidak sihat yang diamalkan mereka.
Ketua Unit Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Madya Dr. Oteh Maskon berkata, kegilaan golongan itu terhadap teh tarik, roti canai, nasi lemak dan merokok ditambah pula dengan sikap malas bersenam menyebabkan mereka mudah mendapat penyakit jantung.
Beliau berkata, dengan gaya hidup seperti itu, golongan berkenaan terdedah kepada risiko obesiti, penyakit darah tinggi dan kencing manis yang menjadi faktor utama menyebabkan penyakit jantung.
"Ini terbukti dengan kira-kira lima peratus daripada 450 pesakit yang dimasukkan ke wad di PPUKM dalam tempoh setahun terdiri daripada golongan yang berusia bawah 40 tahun yang rata-ratanya pada masa sama didiagnosis menghidap darah tinggi dan kencing manis, selain perokok," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum Awam bertajuk 'Degupan Jantung, Hembusan Nafas, Jangan Biarkan Ia Berakhir' di PPUKM di sini semalam.

Terkejut lihat sejadah berdiri

Terkejut lihat sejadah berdiri
Oleh RIZAM ZAKARIYA
mohdrizam@kosmo.com.my














MOHAMAD Shuhaimi (kiri) bersama beberapa jirannya melihat sejadah miliknya yang 'berdiri' di Permatang Pauh, Bukit Mertajam semalam.
________________________________________


BUKIT MERTAJAM - Jika pada pertengahan bulan lalu, penduduk di Kampung Tok Sangkut, Repek, Pasir Mas digemparkan dengan kejadian sejadah 'berdiri' yang menyerupai orang sedang bersembahyang, kejadian yang sama berlaku di Permatang Pauh di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian di Taman Haji Mohd. Amin itu, sepasang suami isteri yang berselisih faham mengenai arah kiblat di rumah mereka terkejut apabila sejadah yang terdapat dalam salah sebuah bilik tiba-tiba 'berdiri' menyerupai orang sedang bersembahyang dalam keadaan duduk antara dua sujud.
Menurut Mohamad Shuhaimi Md. Ilias, 26, sebelum kejadian itu, dia bersama isterinya, Zainab Ramli, 26, yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di taman itu telah berbincang sesama sendiri untuk mendapatkan kepastian arah kiblat dengan menjadikan arah kiblat sebuah masjid berhampiran rumah sebagai panduan.
"Sebaik tiba di rumah kira-kira pukul 8.10 malam (kelmarin), isteri saya telah membentangkan sehelai sejadah yang sering kami gunakan untuk menunjukkan kepada saya arah kiblat.
"Tidak lama kemudian, kami pun membiarkan sejadah berkenaan terbentang dan saya terus ke ruang tamu untuk memandikan anak kami manakala isteri saya menggosok pakaian di dalam bilik dengan membelakangkan sejadah tersebut," katanya yang telah menyewa rumah berkenaan sejak lebih setahun lalu.
Menurutnya, kira-kira pukul 9.45 malam ketika isterinya ingin menggantung pakaian yang sudah digosok, tiba-tiba dia terlihat sejadah tersebut sudah 'berdiri' tegak melebihi 0.3 meter dan membentuk seperti seorang wanita yang sedang bersembahyang menghadap arah kiblat.

Air Laut Surut, Jalan Terbelah Dua

Air laut surut, jalan raya terbelah
Oleh TURMADZI MADUN
turmadzi.madun@kosmo.com.my



________________________________________


KUALA LUMPUR - Pelajar Universiti Andalas di Padang, Sumatera Barat, Marwiza Abdul Ghani sudah lali dengan gempa bumi selepas merasai kira-kira 30 kali gegaran sejak tinggal di Padang empat tahun lalu tetapi tidak ada kejadian yang lebih buruk berbanding tragedi pada pukul 5.30 petang Rabu lalu.
Kesan gegaran kuat gempa 7.6 pada skala Richter itu terbukti apabila pelajar Universiti Andalas itu tidak mampu berdiri.
"Kalau dulu saya boleh berlari keluar rumah, kali ini nak berdiri pun tak boleh,'' katanya ketika ditemui sebaik tiba dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan TUDM Subang semalam.
Tiga pesawat TUDM mendarat bersama 330 pelajar dengan penerbangan pertama tiba pukul 5 pagi membawa 117 orang.
Ia diikuti pesawat kedua pada 6.15 pagi bersama 164 penumpang manakala penerbangan terakhir dengan 49 penumpang mendarat sejam kemudian.
Ada juga pelajar mendakwa melihat jalan raya terbelah dua, air laut tiba-tiba surut dan mayat bergelimpangan.
Ketiga-tiga peristiwa ngeri itu dialami oleh Mohd. Ashraf Abdul Hamid yang sedang berehat di tepi pantai sebelum dikejutkan dengan air laut tiba-tiba surut dan jalan terbelah dua.
Dia bersama pengunjung lain lintang-pukang mencari kawasan tinggi.
"Ramai tahu itu tanda awal tsunami. Saya cepat-cepat lari dalam keadaan terhoyong-hayang seperti orang mabuk kerana tanah bergegar,'' kata pelajar perubatan Universiti Andalas itu.