Malaysian Time

Blog Design by Bling on the Blog
Showing posts with label Rencana. Show all posts
Showing posts with label Rencana. Show all posts

Saturday, November 21, 2009

Cerita Sebelum Tidur

Cerita Sebelum Tidur Bina Daya Imaginasi Dan Kreativiti Anak Anda
Oleh Zulkiple Ibrahim













KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Antara cara yang digunakan ibu bapa untuk menidurkan anak-anak kecil mereka ialah dengan mendodoikan lagu dan bercerita.

Dengan menggunakan buku cerita atau secara bersahaja, mereka akan 'mendodoikan' anak dengan kisah-kisah tauladan dan dongeng yang diharapkan dapat membuai anak ke alam mimpi.

Antara cerita yang selalu diperdengar kepada anak mereka ialah cerita versi Sang Kancil dan penglipur lara tempatan yang membawa mesej serta pengajaran yang baik seperti 'Arnab dan Kura-kura', 'Anjing dan Bayang-bayang' dan 'Gagak Yang Dahaga'.

Tidak kurang juga cerita dongeng dari luar negara termasuk yang berasal dari negara barat seperti 'Cinderella' dan 'Sleeping Beauty' serta Hikayat Seribu satu Malam.

DAYA IMAGINASI DAN KREATIVITI

Menurut seorang pakar psikologi kanak-kanak, bercerita kepada anak sebelum tidur membawa bawa banyak kebaikan.

"Antara kebaikannya ialah ia dapat membuat anak-anak anda tenang dan berasa relaks. Cerita yang anda perdengar juga boleh membina daya imaginasi mereka dan apabila mereka meningkat usia, akan memberi daya kreativiti yang lebih tinggi," kata beliau.

Dengan bercerita kepada anak anda ketika mereka ingin tidur akan membuat mereka tertunggu-tunggu masa ini kerana mereka akan rasa lebih dekat dengan ibu bapa.

"Ia merupakan satu ketika yang akan diingati oleh anak anda seumur hidup beliau. Aktiviti bercerita kepada anak anda sebelum mereka tidur juga akan memupuk tabiat suka membaca anak-anak, selain memberi keseronokan kepada mereka.

"Ini merupakan satu masa yang amat berharga kerana anda boleh bersendirian bersama anak, dalam suasana yang tenang dan tiada gangguan," kata beliau.

CERITA YANG SESUAI

"Janganlah bercerita tentang cerita-cerita yang seram atau sedih kerana ini akan menggangu alam tidur mereka nanti umpamanya mereka akan bermimpi benda-benda yang menakutkan".

Jadi apakah cerita yang sesuai?

Menurut pakar itu, tidak kira sama ada membaca daripada buku atau bercerita dengan bersahaja, cerita-cerita itu seeloknya mempunyai beberapa ciri seperti situasi yang ada persamaan, cerita tidak terlampau panjang dan juga ada kepelbagaian.

"Anda harus menyesuaikan cerita itu dengan sesuatu yang biasa dengan situasi anak anda. Contohnya seorang raja yang mempunyai putera yang nakal atau tentang seseorang yang mempunyai haiwan peliharaannya seperti arnab atau ikan yang boleh berkata-kata.

"Atau gambarkan situasi cerita seolah-olah hampir sama dengan tempat anak anda telah lawati seperti zoo atau taman haiwan atau mungkin juga sebuah stor yang menjual barang permainan dan sebagainya. Dengan berbuat begini anda akan membantu anak anda memperkaya imej di minda serta daya imaginasi dan kreativiti mereka".

Ceritanya pula janganlah terlalu panjang.

"Panjang ceritanya dalam linkungan 20 minit sahaja. Tujuan bercerita ialah untuk membantu anak anda tidur, jadi ia tidak perlu terlalu panjang. Anak-anak mahukan 'penamat' pada cerita itu, jadi kalau mereka tertidur sebelum cerita itu tamat, mereka akan rasa kecewa.

"Kalau membaca daripada buku yang mempunyai beberapa bab, cuba baca dari bahagian ke satu bahagian dan cuba hentikan cerita itu pada satu segmen yang boleh mendatangkan kesimpulan".

CERITA-CERITA LAIN

Anak anda biasanya gemar pada sesebuah buku atau beberapa cerita pendek. Anda mesti sabar bercerita walaupun anak anda meminta buku yang sama dibaca berulang kali atau juga juga cerita yang sama diperdengar berulang kali.

Mungkin juga anda boleh memberikan sedikit kepelbagaian dengan memperkenal cerita-cerita yang 'baru' atau boleh bercerita cerita kegemaran mereka berselang malam.

"Berikan anak anak anda pilihan dan mereka juga sudah tentu mahukan yang baru bila usia meningkat sedikit dan mereka juga akan menemui cerita kegemaran yang baru nanti".

BUKU BERGAMBAR

Bila usia anak semakin meningkat, mereka juga akan semakin pandai bercerita.

Ketika ini masa bercerita sebelum tidur bukan lagi satu 'one man show' (dilakukan seorang) tetapi anak juga turut terlibat dalam bercerita.

Sebelum mereka pandai membaca, ada baiknya jika mereka diberi buku-buku yang mempunyai banyak gambar atau ilustrasi.

Bila mereka mula belajar membaca, adakan banyak gerakan jari dan tunjuk tentang apa yang mereka baca serta juga dengar pertanyaan serta celoteh mereka. Anak kecil biasanya akan mengajukan banyak soalan.

Interaksi sebegini penting untuk mengeratkan hubungan ibu bapa dengan anak.

"Bila anak anda mula membaca tentang satu cerita, jangan ganggu mereka dan biarkan sahaja. Hindarkan daripada memberi komen negatif terhadap cerita mereka".

Cerita sebelum tidur ialah satu momen penting bagi anak anda.

"Mimpilah yang indah".

-- BERNAMA

Thursday, November 5, 2009

Kerjasama, Itulah Amalan Sebaiknya

Kerjasama, Itulah Amalan Sebaiknya

Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Bagi peminat cerita kartun atau animasi, terutamanya kanak-kanak, kini ada satu siri animasi (versi yang dialih ke Bahasa Malaysia) ditayangkan di saluran sebuah stesen televisyen swasta mengenai tiga haiwan peliharaan yang saling membantu dan bekerjasama menyelamatkan haiwan lain yang berada dalam bahaya atau kecemasaan.

Setiap episod siri 'Wonder Pets' itu akan berakhir dengan tiga watak utama haiwan peliharaan, iaitu seekor hamster (Linny), kura-kura (Tuck) dan itik (Ming-Ming) menyanyikan "...Apa yang penting? Kerjasama. Apa yang penting? Kerjasama...".

(Versi Bahasa Inggeris siri animasi itu turut ditayangkan di sebuah saluran stesen televisen satelit).

Siri animasi itu, walaupun hanya sesuai bagi anak-anak kecil, kini meningkat popular bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak, tetapi juga remaja dan golongan dewasa.

Menurut tinjauan Bernama, apa yang membuatkan siri itu semakin menarik minat ramai ialah nyanyian "...Apa Yang penting? Kerjasama... Apa Yang Penting? Kerjasama..." oleh tiga watak utama haiwan peliharaan cerita berkenaan.

Difahamkan versi alih bahasa itu lebih menarik ramai penonton jika dibandingkan dengan versi asal bahasa Inggeris.

Bahkan nyanyian itu dijadikan nada dering yang menerima sambutan hangat pengguna telefon bimbit.

BERAT SAMA DIPIKUL RINGAN SAMA DIJINJING

Tetapi apa yang signifikan daripada siri animasi itu ialah penggunaan perkataan 'kerjasama'.

Apa itu kerjasama?

"Sejak kita kecil lagi, kita diajar dengan pepatah 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Samalah dengan konsep gotong-royong di mana kerja yang berat kalau diusahakan bersama, maka menjadi ringanlah ia. Itulah yang dimaksudkan dengan kerjasama", menurut seorang penjawat awam Zaidah Zainal.

Bagi ibu kepada tiga anak itu, kerjasama boleh diwujudkan di mana-mana sama ada dalam keluarga, di tempat kerja di dalam sebuah organisasi atau pun dalam pelbagai bidang lain.

"Contohnya dalam operasi dan pentadbiran sebuah wad di hospital, mestilah ada kerjasama dari mereka yang merawat seperti pakar dan pegawai perubatan, , jururawat, pembantu perubatan dan petugas sokongan. Begitu juga di pihak keluarga pesakit serta pesakit itu sendiri.

"Begitu juga di kampung dan di bandar, kalau ada majlis kenduri sama ada untuk perkahwinan atau yang lain, kerjasama iaitu gotong-royong antara penduduk akan melancarkan perjalanan majlis dan meringankan beban kepada mereka yang menganjurkan majlis itu," katanya.

PERKARA UNIVERSAL

Bagi pengurus kewangan sektor swasta Dayang Aminah Abu Bakar, konsep kerjasama ialah satu perkara yang universal dan merangkumi pelbagai bidang seperti kerjasama dalam bidang ekonomi, kerjasama orang ramai dalam pencegahan jenayah, kerjasama mencegah penyakit berjangkit seperti penularan pandemik selesema H1N1 baru-baru.

"Ia adalah 'team work' iaitu kerja berpasukan. Sukar hendak melaksanakan sesuatu tanpa kerjasama. Kita sebagai satu komuniti yang besar dalam sebuah negara aman dan damai di mana perlunya saling tolong menolong untuk menyelesaikan masalah kepentingan bersama,", kata beliau.

Pegawai perubatan Dr P. Ragesh berkata kerjasama bermakna bekerja bersama, bersama-sama memikirkan tentang penyelesaian masalah dan bersama-sama menikmati hasil yang dicapai.

"Alangkah baiknya jika pemimpin-pemimpin kita dapat bekerjasama untuk kepentingan rakyat dan negara tanpa menghiraukan fahaman politik masing-masing. Sudah tentu ini dapat membawa negara ke mercu pembangunan dan kemakmuran yang lebih tinggi," katanya.

Menurut Dr Ragesh, apabila kita ingin menerapkan suatu kerjasama yang baik serta efektif dalam pengurusan operasi kerja maka kita harus ada pembahagian tugas.

"Kita juga harus memberi contoh yang baik. Bagaimana hendak kerja secara efisyen dan efektif. Terlampau banyak bercakap tentang kerjasama pun tak guna, lebih baik beri contoh bagaimana kerjasama yang baik boleh dijalankan.

KERJASAMA DALAM GAGASAN 1MALAYSIA

Konsep kerjasama inilah antara intipati penting yang diterapkan dalam gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri mahukan rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama serta kebudayaan bersatu dan bekerjasama untuk membawa Malaysia ke mercu yang lebih gemilang.

Seperti kata watak-watak haiwan comel dalam siri animasi itu:

"Apa yang penting? Kerjasama!

Apa yang penting? Kerjasama!.

"Kami tak besar. Dan kami tak kuat.

"Bila bekerjasama semua jadi mudah"

-- BERNAMA