Malaysian Time

Blog Design by Bling on the Blog

Thursday, November 5, 2009

Penginsurans Takaful Digesa Kekalkan Kadar Premium Rendah Tarik Permint

Penginsurans Takaful Digesa Kekalkan Kadar Premium Rendah Tarik Permintaan

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Bagi mewujudkan permintaan yang lebih baik, penginsurans takaful tempatan perlu belajar dari negara-negara seperti Bangladesh, India dan Indonesia, untuk memulakan skim pelopor di kawasan setempat mereka sendiri, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussain, pada Khamis.

Beliau berkata di sesetengah negara, akses perlindungan insurans dikenakan hingga serendah AS$2 sebulan, di mana ia tidak berlaku di sini.

Menurut Awang Adek, dengan mengekalkan kadar premium serendah yang mungkin, ia bukan sahaja dapat mewujudkan permintaan yang lebih baik bagi produk takaful, tetapi juga membolehkan banyak perniagaan dan keluarga mempunyai akses perlindungan insurans.

"Ramai yang boleh mendapat faedah daripada produk ini. Dalam konteks kewangan Islam, integrasi skim mikro takaful dengan Zakat, Waqf dan institusi amal lain yang sama, adalah untuk tujuan membasmi kemiskinan," katanya dalam ucapan beliau di Persidangan Takaful Rendezvous 2009, di sini.

Beliau berkata untuk bersaing dengan insurans konvensional, masih banyak yang perlu dilakukan oleh industri takaful.

Mengenai perkembangan industri itu, beliau berkata minat terhadap sektor takaful masih utuh meskipun persekitaran yang mencabar, didorong oleh permintaan kukuh bagi perkhidmatan dan minat mendalam yang ditunjukkan oleh penginsurans dalam mencari kaedah baharu untuk menjana pendapatan serta pemelbagaian pasaran.

Awang Adek berkata nilai-nilai yang terdapat dalam skim takaful, yang memenuhi permintaan bagi pelaburan kewangan dan tanggungjawab sosial, meningkatkan lagi nilai dan prospek pasaran bagi sektor ini.

Beliau juga menekankan bahawa industri global takaful yang mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan 25 peratus setahun sejak beberapa tahun lepas, dijangka terus kukuh untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Sejajar dengan pertumbuhan global, beliau berkata industri tempatan dijangka mengekalkan haluannya, dikukuhkan lagi dengan langkah-langkah liberalisasi yang diumumkan awal tahun ini, termasuk pengeluaran sehingga dua lesen takaful keluarga baharu.

Lesen-lesen baharu ini, kata Awang Adek, dijangka dapat merangsangkan lagi inovasi dan persaingan dan berfungsi sebagai pendorong pertumbuhan dan pengembangan dalam industri.

"Kita perlu meneroka bahagian-bahagian baharu, termasuk sektor bukan tradisional. Kita memerlukan wawasan, keazaman dan keyakinan untuk meningkatkan industri," katanya.

Awang Adek juga menyarankan peserta tempatan supaya menimbang perlindungan kesihatan dan perubatan serta perkhidmatan mikro kewangan, terutama mikro takaful yang dijangka menawarkan peluang pertumbuhan yang amat besar.

"Bagi kes perlindungan perubatan dan kesihatan, perubahan demografi dan peningkatan kos perubatan dan penjagaan kesihatan telah membawa kepada permintaan bagi keselamatan kewangan terhadap risiko yang tidak menyenangkan," katanya.

Beliau menjelaskan jangkaan hayat menjelang tahun 2020 dijangka meningkat kepada usia 79 bagi wanita dan 75 bagi lelaki dan bilangan orang yang aktif berbanding pesara dijangka turun sebanyak 40 peratus.

"Ini mencerminkan peluang yang besar kerana ketika ini hanya kira-kira 15 peratus penduduk Malaysia mempunyai perlindungan kesihatan perubatan," katanya.

Sementara itu, persidangan dua hari itu yang bermula hari ini, dianjurkan oleh Persatuan Takaful Malaysia dan disertai peserta tempatan dan dari rantau ini dengan 20 penceramah membentangkan kertas kerja.

-- BERNAMA

Faktor Kewangan Dan Keselamatan Diambil Kira Dalam Kajian Semula NAP

Faktor Kewangan Dan Keselamatan Diambil Kira Dalam Kajian Semula NAP - Ong

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Faktor bebanan kewangan rakyat dan keselamatan merupakan antara perkara yang akan diberi perhatian dalam kajian semula peraturan baru Dasar Automotif Nasional (NAP), kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau berkata kajian perlu dilakukan supaya peraturan baru, yang mewajibkan kenderaan penumpang berusia 15 tahun menjalani pemeriksaan tahunan di Puspakom Sdn Bhd sebelum memperbaharui cukai jalan berkuatkuasa 1 Jan depan itu sesuai dilaksanakan.

"Kita perlu mengambil kira bebanan yang dipikul rakyat tapi pada masa yang sama, kita juga perlu ambil kira tahap kesesuaian kenderaan-kenderaan lama, tidak semestinya sudah 15 tahun, ada yang lebih lama pun ada," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas melawat Stesen LRT Bangsar di sini pada Khamis.

Beliau mengulas arahan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada agensi terlibat termasuk Kementerian Pengangkutan supaya menyediakan laporan terperinci berhubung bantahan pelbagai pihak mengenai peraturan baru itu.

Ong berkata keputusan untuk melaksanakan peraturan itu adalah demi keselamatan pengguna jalan raya dan bukannya bermaksud untuk menyusahkan rakyat.

"Kita faham sekiranya ia (kenderaan) diwajibkan untuk diperiksa oleh Puspakom, misalnya ia akan memakan belanja, dan ini akan tetap dikaji, dari segi bebanan kewangan dan dari segi keselamatan," katanya.

-- BERNAMA

JKJR Mahu Kuatkuasa MS 1164 Untuk Bendung Jualan Alat Gangti Tiruan

JKJR Mahu Kuatkuasa MS 1164 Untuk Bendung Jualan Alat Gangti Tiruan

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) mahu mewajibkan penguatkuasaan sistem piawaian MS 1164 bagi membendung penjualan alat ganti kenderaan tiruan terutama alat brek kepada pengguna jalan raya.

Ketua Pengarah JKJR Datuk Suret Singh berkata peraturan itu dijangka dikuatkuasa mulai 1 Julai tahun depan.

Beliau berkata langkah itu penting memandangkan terdapat peningkatan kes penjualan alat ganti brek tiruan yang menyebabkan pengguna tertipu serta membahayakan mereka.

"Sebelum ini MS 1164 yang diperkenalkan Sirim Berhad hanya dijadikan garis panduan secara standard dan sukarela untuk syarikat pengeluar," katanya kepada pemberita selepas kempen Advokasi JKJR untuk penunggang motosikal dan pemandu kereta di Sentul Raya, Jalan Sentul di sini.

Suret berkata pihaknya akan mendapat kerjasama polis, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), persatuan motosikal dan Persatuan Automatif Malaysia (MAA) bagi menguatkuasakan peraturan itu.

Beliau berkata penunggang motosikal dan pemilik kereta yang ingin menukar atau menggantikan sistem brek kenderaan hendaklah berbuat demikian melalui pengedar yang sah untuk mengelak daripada ditipu.

"Banyak penunggang motosikal serta pemandu kenderaan mendapatkan alat gantian brek tiruan termasuk 'brakepad' dengan harga yang murah dan ini membimbangkan kerana alat ganti tiruan tidak berkualiti dan boleh menyebabkan kemalangan," katanya.

Suret berkata pengedar diberi tempoh tujuh bulan untuk tidak menjual alat ganti brek tiruan dan jika mereka masih menjualnya selepas tempoh itu, barangan tiruan berkenaan akan dirampas.



-- BERNAMA

Malaysia Kurang Terjejas Akibat Kemelesetan Ekonomi

05 November, 2009 19:30 PM

Malaysia Kurang Terjejas Akibat Kemelesetan Ekonomi, Hasil Kajian

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Malaysia kurang tejejas akibat kemelesetan ekonomi dunia, demikian menurut hasil kajian oleh Institute of Chartered Accountants England dan Wales (ICAEW).

Kajian Tahunan Perusahaan Dunia 2009 juga menunjukkan perniagaan di Asia "menerima kesan yang lebih negatif" akibat kelembapan ekonomi berbanding perniagaan di rantau lain.

Ia menunjukkan perniagaan di tiga pasaran Asia mengalami kemelesetan dalam pelbagai tahap, dengan satu dalam tiga (33 peratus) perniagaan di Singapura melaporkan kesan sangat negatif ke atas perniagaan mereka berbanding 21 peratus di Hong Kong dan hanya sembilan peratus di Malaysia.

Pengarah Serantau Institut bagi Asia Tenggara, Mark Billington berkata: "Meskipun impak kemelesetan ekonomi dirasai di seluruh dunia, negara-negara Asia, termasuk Malaysia, didapati kurang terdedah berbanding perniagaan di rantau lain."

"Bagaimanapun kebanyakan perniagaan di Asia telah menyederhanakan unjuran pertumbuhan masing-masing untuk tempoh dua tahun yang akan datang, dengan satu daripada lima menjangkakan tiada pertumbuhan.

"Bajet Malaysia baru-baru ini, serta tanda-tanda pemulihan ekonomi yang lemah di beberapa negara di seluruh dunia, diharapkan dapat membolehkan kami menjangka maklum balas yang lebih positif dan menyakinkan daripada rakyat Malaysia dalam Kajian Perusahaan Global yang akan datang," kata Billington.

Cabaran khusus yang dialami oleh perniagaan di Asia akibat krisis itu termasuk kesukaran merancang untuk masa depan dan pertumbuhan perolehan yang berkurangan, kata kajian itu.

Kajian ICAEW itu memperjelas bahawa kelembapan itu akan memberi impak yang lebih besar terhadap pengaruh ekonomi yang lain seperti perubahan dalam permintaan pengguna, kadar tukran asing dan perubahan dalam harga komoditi dunia.

Perniagaan Asia juga paling positif dalam mengharungi impak globalisasi berbanding perniagaan di rantau lain.

Tujuh puluh peratus perniagaan di Malaysia, 81 peratus perniagaan di Hong Kong dan 86 peratus perniagaan di Singapura percaya globalisasi selanjutnya akan mendatangkan manfaat.

Bagaimanapun, perniagaan di Asia secara amnya memperlihatkan lebih banyak halangan untuk peluasan antarabangsa berbanding perniagaan lain yang dikaji selidik.

"Bahagian yang lebih besar daripada perniagaan Malaysia, berbanding rakan mereka di rantau lain, melaporkan persekitaran politik, kewujudan sumber dalaman, isu bahasa dan perbezaan budaya, merupakan halangan untuk peluasan di peringkat antarabangsa," kata kajian itu.

Sokongan dan penjagaan pesekitaraan perniagaan sangat penting untuk kesejahteraan dan pertumbuhan perusahaan.

Kajian itu menyebut, perniagaan di Singapura dan Hong Kong menganggap pengawal aturan tempatan dan persekitaran percukaian sangat mesra perniagaan.

Keseluruhannya perniagaan di Asia lebih yakin mengenai penamatan awal kesan kemelesetan ekonomi global berbanding rantau lain, kata kajian itu.

Di peringkat global, kebanyakan yang terjejas akibat kelembapan ekonomi, menjangkakan impak akan berterusan untuk setahun hingga dua tahun -- 2010 atau 2011, katanya.

-- BERNAMA

Wahabi tidak pernah difatwa sesat

Wahabi tidak pernah difatwa sesat
Nov 5, 09 2:09pm

Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

"Kalau kita kata sesat, maknanya kalau kita pergi Mekah, kita tak bolehlah sembahyang dengan tok imam di Mekah... tak sah, habislah jemaah haji kita.

"Dia (Wahabi) tak sesat, cumanya ia bergantung kepada kesesuaian di negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan bertajuk 'Pendermaan Organ dari Perspektif Islam' di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.


Antara ajaran fahaman Wahabi ialah tidak mengamalkan bacaan doa qunut dan Yaasiin selain tidak mengadakan tahlil dan tidak berzikir selepas solat seperti amalan biasa umat Islam di negara ini.

Mashitah yang menyifatkan isu mengenai Wahabi ini sebagai "sensitif", berkata setakat ini fahaman tersebut masih boleh dibendung dari terus berkembang ke seluruh negara.

"Kita juga perlu menjaga (sensitiviti) beberapa negeri, negara dan masyarakat kita. Jadi kalau kita timbulkan banyak isu ini, masyarakat akan jadi keliru.

"Sekarang ini kita tekankan di Malaysia ialah kita berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Perbezaan dalam aliran ini selagi tidak menyentuh mengenai akidah, maka ia adalah fahaman yang boleh diterima tetapi kalau sentuh soal akidah, contohnya Allah itu duduk ke tak duduk ke, maka kita akan ambil satu pendekatan yang lebih serius.

"Tetapi setakat ini fahaman Wahabi itu kita masih dapat bendung," katanya.

Mashitah ketika ditanya pemberita sama ada fahaman tersebut boleh dikategorikan sebagai berbahaya, berkata: "Kerajaan dan Majlis Fatwa sedang melihatnya dengan berhati-hati supaya tidak menimbul ketegangan dalam kalangan orang agama mahu pun masyarakat yang melihat.

"Kita di Malaysia ini mengambil pendekatan yang halus dan berdiplomasi. Sensitiviti kebanyakan orang itu, kita kena jagalah. Itu yang kita nak jaga supaya perpaduan sesama kita terpelihara."

Turut hadir pada seminar tersebut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Othman Mustafa dan Pengarah Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Datuk Dr Azmi Shapie.

Terdahulu, mengenai pendermaan organ, Dr Azmi berkata sehingga Oktober tahun ini, seramai 134,000 orang telah mendaftar dan berikrar untuk menjadi penderma organ dan 19,000 orang pesakit buah pinggang dicatatkan sehingga bulan yang sama.

"Dari jumlah ini, Melayu adalah kumpulan yang terendah untuk tampil mendermakan organ. Ini adalah kerana meraka kurang pendedahan atau pemahaman mengenai pendermaan organ," katanya.

Othman dalam ucapannya pada seminar itu pula berkata agama tidak menghalang untuk menderma organ dan antara faktor penghalang seseorang Muslim untuk menderma organ adalah kerana rasa takut.

Beliau berkata walaupun pendermaan organ seperti jantung dan kornea dibolehkan dan difatwakan pada tahun 1970, namun jumlah individu Islam yang menderma amat kecil berbanding mereka yang beragama lain. BERNAMA