Malaysian Time

Blog Design by Bling on the Blog

Tuesday, November 3, 2009

Air Terjun Batu Berangkai


AIR TERJUN BATU BERANGKAI, KAMPAR

Air Terjun Batu Berangkai, Kampar merupakan salah satu destinasi pelancongan Malaysia yang paling indah. Letaknya lebih kurang 2.5 km dari bandar Kampar. Dari jalan sebelah tepi Masjid Al Nur Kampar, anda akan melalui sekim Perumahan Taman Ros dan menikmati suasana perkampungan Melayu tradisional dan perkampungan Orang Asli sebelum sampai ke destinasi ini.

Pengunjung dapat menghayati keindahan alam semulajadi disamping bermandi-manda, berkelah dan berkhemah sekeluarga di situ. Waktu senja adalah masa yang cantik sekali semasa sang suria mengundur diri. Bagi pengunjung yang "adventure", anda boleh mendaki Gunung Relau dari Air Terjun ini melalui trek tanah yang bersih.

Anda akan sampai ke kemuncaknya setinggi 4075 kaki disamping menikmati keindahan flora dan fauna semulajadi. Perjalanan ini akan mengambil masa 4-5 jam.

Jais: Dr Asri akan segera didakwa

Jais: Dr Asri akan segera didakwa
Salhan K Ahmad
Nov 2, 09
4:41pm
kemaskini 7.10pm


Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan didakwa selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selesai menjalankan siasatan terhadap bekas mufti Perlis itu berhubung kesalahan mengadakan kuliah agama tanpa tauliah daripada jabatan itu.

Pengarah jabatan itu Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata siasatan itu juga akan disegerakan memandangkan kes itu melibatkan tangkapan yang telah menjadi perhatian umum.

"Tapi kita mungkin akan ambil masa yang panjang sikit kerana melibatkan dakwaan-dakwaan (daripada pelbagai pihak).

"Kita kena siapkan kertas siasatan sebelum boleh buat pendakwaan," katanya.

Bercakap pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini, Mohammed Khusrin turut mempertahankan tindakan jabatan itu menggunakan khidmat polis ketika menahan Dr Mohd Asri.

"Tangkapan dibuat dengan dibantu polis kerana berlaku masalah untuk dapatkan kerjasama (Dr Mohd Asri).

"Kami telah dihalang oleh jemaah dan wakil rakyat kawasan, sebab itu kami dapatkan bantuan polis," katanya.

"Kita telah jalankan tanggungjawab berdasarkan peruntukan undang-undang. Kami tidak buat lebih daripada sepatutnya."


Dr Mohd Asri sedang disiasat bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 atau mengajar agama tanpa tauliah.

"Tidak kisah apa juga ceramah yang berkaitan dengan agama Islam, yang tidak ada tauliah kita kena ambil tindakan," kata Mohammed Khusrin.

Dr Mohd Asri ditahan malam tadi ketika menyampaikan kuliah agama di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang (foto kanan).

Turut hadir di tempat kejadian, ahli parlimen PKR bagi Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ADUN PAS bagi Hulu Kelang, Saari Sungib.

Di sidang media itu, Mohammed Khusrin menjelaskan, Jais belum mendakwa Dr Mohd Asri kerana siasatan jabatan itu setakat ini belum mencukupi.

"Pagi tadi, kita bawa ke mahkamah bukan untuk mendakwa dia. Kita bawa pagi tadi untuk jaminan bon melanjutkan tempoh siasatan," katanya.

Menurutnya, berdasarkan peruntukan dalam enakmen tersebut, jika siasatan tidak dapat disiapkan dalam tempoh 24 jam, Jais harus melanjutkan bon jaminan untuk meneruskan siasatan.

Beliau juga berkata, Jais tidak menerima tekanan daripada pertubuhan Islam dalam menjalankan tindakan ke atas bekas mufti itu.

"Tidak ada (tekanan), kita buat ini tanpa arahan sesiapa dan kita buat ikut arahan pentadbiran biasa.

"Sesiapa saja termasuk Dr Asri atau wakil rakyat yang buat ceramah agama di Selangor tanpa tauliah, kita akan ambil tindakan," jelasnya.

Mengulas isu penyebaran ajaran Wahabi seperti didakwa sesetengah pihak, pengarah Jais berkata Jais tidak boleh membuat tuduhan ke atas Dr Mohd Asri walau bekas mufti itu menerima tuduhan tersebut kerana siasatan masih berjalan.

"Yang itu kita sedang siasat, saya tidak boleh tuduh orang. Setakat ini kita masih jalankan siasatan, dan kita akan maklumkan kemudian," katanya.

"Dari segi kandungan, kita akan siasat, apa yang diceramah itu kita akan siasat. Tapi tindakan kita adalah kerana dia berceramah tanpa tauliah."

Dalam satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, sejumlah NGO Islam membantah Dr Mohd Asri dilantik sebagai pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) atas alasan beliau seorang yang tidak mengamalkan ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah, menolak ulama dan bersikap ekstrem.

Dr Mohd Asri bagaimanapun menafikan semua dakwaan tersebut dalam sidang medianya semalam.

Mohammed Khusrin juga berkata: "Tidak ada kena-mengena dengan kes ini. Isu itu tidak ada kena-mengena dengan tindakan kita.

"Itu dakwaan daripada persatuan dan NGO, itu tidak ada kena-mengena dengan kita dan kita bertindak bukan kerana desakan daripada NGO-NGO berkenaan."

Beliau turut menjelaskan, tindakan itu diambil berdasarkan aduan daripada pelbagai pihak, termasuk penduduk Taman Sri Ukay, lokasi Dr Mohd Asri menyampaikan kulia dengan disertai kira-kira 200 orang sehingga lewat malam tadi.

"Aduan ini datang dari pelbagai pihak dan kita tahu di Taman Sri Ukay ini memang menjadi pusat kegiatan mereka," katanya.

Tambahnya, Dr Mohd Asri juga tidak pernah memohon sebarang tauliah daripada Jais walaupun telah diminta berbuat demikian.

"Sepatutnya dia hormati undang-undang agama Islam di Selangor dan kita telah tulis surat kepada Dr Asri lama dulu semasa beliau menjadi mufti (Perlis) lagi, dan dia pun tidak pernah mohon tauliah," tambahnya.

Katanya lagi, jabatan itu telah membuat lebih 10 tangkapan terhadap penceramah yang mengadakan kuliah tanpa tauliah daripada Jais, tetapi perkara itu tidak dilaporkan media.

"Cuma hari ini, kebetulan, sebab (individu) yang kita tangkap semalam merupakan seorang bekas mufti, jadi isu besarlah," katanya.

Kapsul ubat: Gelatin babi dicop halal

Kapsul ubat: Gelatin babi dicop halal
Nov 2, 09 5:01pm

Kira-kira 30 peratus daripada 100 produk kesihatan yang diuji di makmal Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) tidak halal kerana menggunakan gelatin kapsul ubat dari khinzir.


Dekan Pusat Pengajian berkenaan Prof Madya Dr Syed Azhar Syed Sulaiman (foto, kanan) berkata kesemua produk yang diuji sejak setahun lepas itu dihantar oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan pengeluar produk bagi mengenal pasti sumber gelatin yang mereka gunakan.

"Daripada 100 produk yang kita uji, sebanyak 30 peratus tidak halal dan menggunakan gelatin dari khinzir kerana ia lebih murah daripada gelatin lembu.

"Bagaimanapun ini bukanlah menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di Malaysia kerana ada pengeluar yang terlibat bertindak menukar gelatin yang mereka gunakan kepada yang halal seperti gelatin lembu selepas dimaklumkan perkara berkenaan," katanya selepas satu sidang akhbar di USM di Pulau Pinang hari ini.

Gelatin adalah suatu campuran protein diekstrak daripada kulit binatang.

Syed Azhar berkata produk kesihatan yang diuji tidak halal itu memang terdapat di pasaran dan ia dijual sejak beberapa tahun lepas.

"Ini yang kita bimbangkan kerana gelatin kapsulnya tidak halal dan produk berkenaan dikeluarkan sijil halal yang sah ekoran bahan utamanya halal," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Kesihatan mewajibkan pengeluar produk kesihatan menggunakan gelatin kapsul dari sumber yang halal.

Sementara itu, sekumpulan penyelidik USM yang diketuai Prof Madya Dr Gam Lay Harn (foto, kiri) berjaya menghasilkan kaedah yang pertama di Malaysia bagi mengenal pasti sumber bahan untuk gelatin kapsul ubat.

Dr Gam berkata dengan menggunakan teknik-teknik pengekstrakan dan pengasingan protein yang sesuai, pihaknya berjaya membangunkan satu kaedah pengenalpastian sumber gelatin sama ada daripada lembu atau khinzir.

Penyelidikan itu dibantu Zuraidah Mohd Zobir, Yap Beow Keat dan Lim Chu Ai.

Dr Gam berkata pada campuran yang mengandung 20 peratus gelatin khinzir atau lebih bagi setiap kapsul ubat, pihaknya 100 peratus yakin dapat mengesan kandungan gelatin tersebut.

Beliau menjangkakan kaedah yang telah memenangi beberapa anugerah di Malaysia dan luar negara itu mampu diterima di seluruh dunia terutama di negara-negara Islam kerana ia melibatkan produk halal dan haram. BERNAMA

Monday, November 2, 2009

PM: Kaedah baru ganjaran bagi kakitangan awam

PM: Kaedah baru ganjaran bagi kakitangan awam
Nov 2, 09 11:34am

Kerajaan akan memperkenalkan sistem ganjaran yang lebih berkesan yang dapat memotivasikan penjawat awam bagi memperkasa budaya prestasi tinggi di dalam sektor awam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata ini kerana cabaran yang dihadapi oleh negara adalah besar dan walaupun berjaya, negara berada dalam situasi yang disifatkan sebagai terperangkap dalam tahap pendapatan sederhana.

"Maknanya jika kita tidak buat sesuatu kita akan terperangkap di dalam tahap pendapatan sederhana ini.

"Maknanya kita tak miskin tetapi kita tak kaya dan inilah cabaran yang paling besar bagi negara bagaimana kita nak wujudkan satu motivasi supaya kita tidak terlekat pada tahap sekarang tetapi benar-benar menjadi negara yang berjaya mengikut takrif kita," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini.

Sehubungan itu, katanya, beliau bersama timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan sedang memikirkan dari segi kaedahnya untuk memperkenalkan sistem ganjaran tersebut yang benar-benar berkesan yang dapat memotivasikan penjawat awam.

"Mungkin hari kualiti kita tukar kepada hari inovasi. Kita nak cuba gubal satu sistem ganjaran yang lebih bermakna lagi, bukan seperti sistem sebelum ini, menegak melintang, ia tidak berkesan kerana kita dah berpakat.

"Tahun ini giliran saya, tahun depan, hangpa punya peluang. Jadi, kalau macam tu, ia tidak jadi. Dan jangan kata ia tidak berlaku. Ia berlaku. Sebab saya tahu, ia berlaku," katanya.

Najib berkata penggubalan sistem ganjaran itu juga bagi menunjukkan bahawa kerajaan tidak bertolak ansur kepada penyalahgunaan kuasa, mediokriti, tetapi memberi ganjaran kepada prestasi tinggi.

"Kita kena bergi ganjaran jabatan yang kutip cukai meningkat, kita mungkin beri ganjaran jabatan yang berjaya dalam pendakwaan, kita boleh beri ganjaran mungkin jabatan yang buat kajian dan penyelidikan (R&D) yang menghasilkan sesuatu yang luar biasa," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu perkara seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara tidak akan berulang lagi kerana ia boleh memberi kesan kepada kerajaan.

"Ini kerana setiap kali ada laporan, rakyat dah jadi sinikal, rakyat kata laporan ini, tidak ada tindakan.

"Semuanya cerita lama, maknanya prestasi kita tidak akan bertambah baik dan rakyat akan mencemuh kita, dan tentu akan memberi kesan kepada kerajaan," katanya.

Najib juga berkata ketua-ketua jabatan tidak boleh bertolak ansur kepada prestasi yang bersifat tidak berapa baik jika pekerja bawahan melakukan kerja yang tidak mencapai tahap mutu dan kualiti yang dikehendaki.

"Bukan kita marah dia, atau mencampak fail tetapi jemput dia ke bilik kita dan terangkan kepada dia kerja saudara/saudari tidak sampai kepada tahap kualiti yang saya kehendaki sebagai ketua jabatan. Hanya perkataan seperti itu, ia sudah memadai.

"Tak payah tumbuk meja, tak payah nak bertempik. Sebagai ketua jabatan anda hanya sebut beberapa perkataan, saya jamin, pegawai anda, pada satu masa nanti, akan menghasilkan kerja yang bermutu," katanya. BERNAMA

Jais tidak jadi dakwa Dr Asri


Jais tidak jadi dakwa Dr Asri
Hafiz Yatim & Salhan K Ahmad
Nov 2, 09 11:09am
kemaskini 1.05pm

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, setakat hari ini, tidak didakwa atas kesalahan mengajar agama tanpa tauliah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) seperti dirancang.


Beliau tiba di perkarangan mahkamah itu sejak 8.45 pagi sebelum dijadual dituduh jam 9 pagi ini.

Bagaimanapun menjelang jam 1 tengah hari, beliau dibebaskan dengan jaminan Jais selepas menunggu pihak pendakwaan hampir empat jam di situ.

Sebelumnya, ketika bercakap kepada media di luar mahkamah, Dr Asri berkata pihak berkuasa agama itu menahannya tanpa sebab dan kini sedang memikirkan apakah bentuk tindakan yang akan dikenakan.

Sementara itu ketua unit perhubungan awam Jais, Mohd Hidayat Abd Rani memberitahu Malaysiakini melalui telefon bahawa Dr Mohd Asri akan didakwa bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 atau mengajar agama tanpa tauliah.

Mohd Hidayat berkata pendakwaan itu dilakukan berdasarkan aduan-aduan orang ramai terhadap lulusan pengajian hadis itu sejak beliau mula mengadakan ceramah agama di Selangor tiga tahun lalu.

"(Tindakan) ini berdasarkan aduan orang ramai yang keliru dengan ajaran-ajaran yang dibawa (Dr Mohd Asri) dan kita bimbang ini akan memecah-belahkan masyarakat," kata Mohd Hidayat.

Dr Mohd Asri diwakili dua peguam, Zulkifli Che Yong dan Azmi Rais.

Sewaktu mereka menyemak dengan pihak pendaftar mahkamah tersebut, tiada pertuduhan difailkan terhadap anak guam mereka itu.
Aktivis NGO terkenal Datuk Marina Mahathir turut hadir di mahkamah, selain ahli parlimen PKR bagi Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ADUN PAS bagi Hulu Kelang, Saari Sungib turut hadir.

Zuraida dan Saari berada di tempat kejadian sewaktu Dr Mohd Asri ditahan malam tadi ketika menyampaikan kuliah agama di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang (foto kanan).

Menurut laporan Bernama tengah malam tadi, Dr Mohd Asri dilaporkan ditahan semasa berceramah kira-kira pukul 12.10 tengah malam oleh polis serta pegawai Jais dan kemudian dibawa ke balai polis Hulu Kelang.

Ceramah itu dihadiri kira-kira 100 orang, termasuk Zuraida dan Saari, lapor agensi berita itu lagi.

Selepas dibebaskan dengan ikat jamin Jais, Dr Mohd Asri merancang bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mej-Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Jais dijangka akan mengadakan satu sidang akhbar bagi menjelaskan isu ini petang ini.